WILAYAH - UTARA > BERITA

HASIL DURIAN BERKURANGAN DISEBABKAN CUACA PANAS

26/06/2024 12:52 PM

JITRA, 26 Jun (Bernama) -- Cuaca panas berlarutan sejak awal tahun menyebabkan pengeluaran buah durian musim ini menurun atau kurang ‘menjadi’ di Kedah.

Pengurus dusun durian di Changlun dekat sini, Ahmad Luqman Hakim Nor Azlan berkata pengeluaran buah durian di tujuh kebunnya menurun sehingga lebih 40 peratus pada musim ini berbanding tahun lepas.

Beliau berkata tempoh musim durian kali ini juga agak pendek iaitu hanya kira-kira sebulan bermula pokok durian berbunga sehingga berbuah disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu.

“Musim kemarau atau cuaca panas pada tahun ini agak panjang berbanding tahun lepas, walaupun pokok durian sudah disiram dengan banyak air tapi pokok masih terjejas dengan cuaca panas.

“Apabila terdedah dengan cuaca panas terlalu lama, bunga pokok durian tidak menjadi dan kalau bunga itu dapat bertahan sekalipun buah yang terhasil juga tidak besar bentuknya,” katanya ketika ditemui di kebunnya di sini hari ini.

Ahmad Luqman Hakim berkata pada tahun sebelum ini, tujuh kebun duriannya di sekitar Changlun itu menghasilkan kira-kira 1,000 biji durian sehari, namun pada tahun ini hanya sekitar 600 biji sahaja dapat dijual setiap hari.

Menurutnya, dusun yang diusahakan bersama bapanya itu keseluruhan berkeluasan kira-kira 23 hektar dan mempunyai kira-kira 5,000 pokok pelbagai varieti durian termasuk Udang Merah, Musang King, D28 dan D101.

Menurut Ahmad Luqman Hakim, pada musim durian tahun-tahun lepas beliau menyediakan peluang kepada orang ramai untuk menikmati durian sambil menikmati suasana menarik di kebun.

Namun katanya disebabkan hasil durian menurun pada musim kali ini, beliau menjual buah itu kepada pelanggan tetapnya sahaja.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan