WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PENGGABUNGAN MAVCOM, CAAM UNTUK TINGKAT KECEKAPAN SISTEM PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN - LOKE

26/06/2024 04:17 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Penggabungan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) bertujuan mengurangkan karenah birokrasi dan meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan penerbangan awam terutamanya dalam perkhidmatan pelesenan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata menerusi penggabungan MAVCOM dan CAAM,  industri penerbangan tidak lagi memerlukan dua badan bagi mengawal selia penerbangan awam negara.

“Mekanisme tunggal ini juga diguna pakai di kebanyakan negara yang mengendali sektor pengangkutan udara utama dunia seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman, Singapura dan Republik Rakyat China.

“Penggabungan ini juga akan dapat mengoptimumkan penggunaan sumber manusia dan kewangan sedia ada di samping meningkatkan kecekapan tadbir urus dan sistem penyampaian perkhidmatan,” katanya  ketika membentangkan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Pembubaran) 2024 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata dengan pembubaran MAVCOM, semua fungsi suruhanjaya itu akan terus dilaksanakan dan diperkasakan oleh CAAM.

MAVCOM ditubuhkan pada 1 Mac 2016 di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 (Akta 771) sebagai sebuah suruhanjaya penerbangan bebas yang bertanggungjawab untuk mengawal selia aspek ekonomi dan komersial industri penerbangan awam serta perlindungan hak-hak pengguna penerbangan di Malaysia, bermatlamat untuk menjadikan industri penerbangan awam negara berdaya maju dari segi komersial, berorientasikan pengguna dan berdaya tahan.

Sementara itu Loke berkata menerusi Rang Undang-Undang Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Pembubaran) 2024 yang menfokuskan pemansuhan Akta 771 dan pembubaran MAVCOM melibatkan perkara-perkara berkaitan Fasal 2 hingga Fasal 14, semua permohonan atau aduan yang diterima dan belum diselesaikan MAVCOM akan diteruskan CAAM.

Selain itu beliau berkata hak trafik udara, Lesen Perkhidmatan Udara (ASL), Permit Perkhidmatan Udara (ASP), Lesen Pengendali Aerodrom (AOL) dan Lesen Pengendali Darat (GHL) yang diberikan kepada syarikat penerbangan, operator lapangan terbang atau pengendali darat sebelum pembubaran MAVCOM masih lagi berkuat kuasa selepas digabungkan ke dalam CAAM bagi memastikan perkhidmatan udara negara tidak terjejas

Fasal 9 Akta 771 bertujuan mengadakan peruntukan bagi kecualian apa-apa lesen atau permit yang dipegang oleh seseorang atau apa-apa hak trafik udara bagi laluan domestik atau antarabangsa yang diperuntukkan kepada seseorang sebelum tarikh permulaan kuat kuasa akta yang dicadangkan.

“Kerajaan komited dengan penggubalan rang undang-undang ini, ia bagi memastikan pembangunan sektor penerbangan awam yang moden, mampan, selamat dan efisien,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan