WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AGONG ZAHIR KATA-KATA SEMANGAT KEPADA KONTINJEN NEGARA KE OLIMPIK, PARALIMPIK PARIS

02/07/2024 02:31 PM

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan kata-kata semangat kepada kontinjen negara ke Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024.

Seri Paduka Baginda menzahirkan perkara itu menerusi hantaran dalam Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. 

“Saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada semua atlet negara yang akan bertanding pada Sukan Olimpik 2024.

“Bersama-sama kita mendoakan kecemerlangan buat atlet-atlet yang mewakili negara ke temasya Olimpik dan Paralimpik,” titah Sultan Ibrahim.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong berkenan berangkat menyempurnakan majlis penyerahan Jalur Gemilang kontinjen Malaysia ke temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024 di Istana Negara hari ini. 

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, Presiden Majlis Olimpik Malaysia Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia Datuk Seri Megat D Shariman.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Dr Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Kontinjen (CDM) ke Sukan Olimpik Datuk Hamidin Mohd Amin dan CDM kontinjen negara ke Sukan Paralimpik Datuk Subramanian Raman Nair. 

Pada temasya Olimpik Paris 2024, sebanyak 25 atlet kebangsaan akan mengambil bahagian setakat ini, manakala sukan Paralimpik pula melibatkan 20 atlet.

Sukan Olimpik Paris 2024 akan membuka tirai pada 26 Julai hingga 11 Ogos, manakala Sukan Paralimpik bermula pada 28 Ogos hingga 8 September ini. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan