WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BUDI INDIVIDU: PERMOHONAN 115,000 PEMILIK KENDERAAN DIESEL DILULUSKAN

02/07/2024 06:48 PM

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Kementerian Kewangan telah meluluskan permohonan bantuan tunai BUDI Individu kepada sejumlah 115,000 daripada 300,000 pemilik kenderaan diesel individu yang layak, setakat semalam.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

“Walaupun data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menunjukkan pemilik kenderaan diesel persendirian di seluruh negara berjumlah 1.2 juta, namun angka itu termasuklah pelbagai kategori yang tidak layak untuk mendapatkan bantuan BUDI Individu.

“Daripada 1.2 juta kenderaan diesel persendirian, 300,000 ialah kenderaan persendirian milik syarikat; 330,000 kenderaan di Sabah, Sarawak dan Labuan; 150,000 kenderaan luput cukai jalan dan 60,000 kenderaan mewah atau individu melebihi syarat pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) yang inginkan penjelasan tentang 100,000 atau 10 peratus daripada 1.2 juta pemilik kenderaan diesel di seluruh negara sahaja yang menerima BUDI MADANI dan usaha bagi memastikan tiada golongan tercicir daripada bantuan itu.

Inisiatif BUDI MADANI yang dibuka sejak 28 Mei lepas ialah platform untuk mengagihkan bantuan tunai subsidi diesel kepada pemilik kenderaan diesel melalui kategori BUDI Individu, dan kepada petani kecil dan pekebun kecil bagi kategori BUDI Agri-Komoditi.

Selain BUDI Individu, hampir 400,000 petani dan pekebun skala kecil berkelayakan menerima manfaat daripada BUDI Agri-Komoditi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan