WILAYAH - SARAWAK > BERITA

FAHMI PERSEMBAH WARKAH PERSILAAN KE ISTIADAT PERTABALAN AGONG KEPADA RAJA BAHRAIN

02/07/2024 07:34 PM

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mempersembahkan Warkah Persilaan ke Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim kepada Raja Bahrain Sheikh Hamad bin Isa Al Khalifa.

Menerusi hantaran di laman Facebook hari ini, Fahmi yang juga Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong ke-17 berkata warkah persilaan itu dipersembah dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim. 

"Warkah Persilaan diserahkan melalui putera kepada Sheikh Hamad iaitu Sheikh Abdullah bin Hamad Al Khalifa di Manama, Bahrain.

"Ketika mengalu-alukan kehadiran kami, Sheikh Abdullah menyampaikan salam daripada Raja Bahrain serta hasrat baginda untuk melihat hubungan dengan Malaysia terus berkembang dan maju," katanya.

Berdasarkan hantaran itu, turut serta semasa menyampaikan warkah persilaan tersebut ialah Datuk Paduka Maharajalela Istana Negara Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini dan Duta Besar Malaysia ke Bahrain Shazryll Zahiran. 

Fahmi juga mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama menyaksikan istiadat pertabalan penuh bersejarah itu yang akan berlangsung di Istana Negara pada 20 Julai ini.

Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan lepas.

Pada 16 Mei lepas, Fahmi dilaporkan berkata kerajaan dengan titah perkenan Yang di-Pertuan Agong akan melaksanakan pelbagai acara sempena istiadat penuh simbolik yang berlangsung lima tahun sekali. 

Antaranya ialah Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat di Masjid Negara, Lawatan Raja Permaisuri Agong ke Hospital Orang Asli Gombak serta Pameran Raja Kita di Muzium Negara. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan