WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TIGA JAM SESI SOAL JAWAB PADA PERSIDANGAN DUN PERAK 9 HINGGA 11 JULAI - SPEAKER

04/07/2024 08:42 PM

IPOH, 4 Julai (Bernama) -- Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang akan berlangsung 9 hingga 11 Julai ini akan menyaksikan sesi soal jawab selama tiga jam berbanding satu jam atau satu setengah jam seperti lazimnya sebelum ini.

Speaker DUN Perak Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata ia bagi memberi lebih banyak ruang untuk isu-isu diutarakan dan diambil perhatian di dalam dewan.

“Minimum masa untuk soal jawab sebelum ini ialah satu jam. Jika sebelum ini soalan yang tidak sempat diutarakan dijawab secara bertulis, tetapi kali ini kita mahu lebih banyak isu dapat diutarakan dalam tempoh tiga jam setiap hari ketika persidangan ini berlangsung,” katanya ketika sidang media di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Speaker Jenny Choy Tsi Jen dan Setiausaha Dewan Negeri Perak Abdul Majid Abdul Rahim.

Sementara itu, Mohammad Zahir berkata cadangan memperkenalkan enakmen atau peraturan baharu berkaitan pengawalan haiwan-haiwan berkeliaran di negeri Perak merupakan antara dua usul persendirian yang diterima ke persidangan tersebut.

Beliau berkata usul tersebut akan dibawa oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Keranji Angeline Koo Haai Yen.

Menurut beliau, satu lagi usul persendirian adalah mengenai cadangan mengadakan jawatankuasa khas menangani isu fenomena cuaca ekstrem dan perubahan iklim serta banjir kilat yang akan memberi kesan kepada kehidupan rakyat di negeri Perak, akan dibawa oleh ADUN Simpang Pulai Wong Chai Yi.

Seramai enam orang ahli yang berhormat akan diberi peluang untuk berbahas bagi setiap usul iaitu tiga dari kerajaan dan tiga dari pembangkang.

Menyentuh mengenai etika pemakaian, Mohammad Zahir berkata ahli dewan digalakkan memakai batik pada hari Khamis.

“Ia tidak wajib tapi digalakkan dan pakailah batik Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan