WILAYAH - SARAWAK > BERITA

DUN SELANGOR LULUS USUL KECAM KEGANASAN TERHADAP ATLET, GESA SIASATAN MENYELURUH

05/07/2024 06:14 PM

SHAH ALAM, 5 julai (Bernama) -- Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini sebulat suara meluluskan usul tergempar mengecam perbuatan ekstrem dan keganasan yang mengancam nyawa serta karier atlet terutamanya bola sepak.

Usul dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang Abbas Salimmi Che Adzmi sebelum sesi perbahasan Kajian Separuh Penggal RS-1 (KSP RS-1) itu yang antara lain mendesak siasatan menyeluruh ke atas kes simbah asid melibatkan pemain kebangsaan dan Selangor FC Muhammad Faisal Abdul Halim, telah dibahaskan oleh lima Ahli Dewan Negeri (ADN).

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Mohd Najwan Halimi ketika menggulung perbahasan berkata usul berkenaan adalah cerminan kesepakatan dan solidariti seluruh ADN Selangor yang membantah sekeras-kerasnya serta menolak sebarang unsur keganasan membabitkan arena sukan negara.

“Kita juga harus pastikan pihak berkuasa menjalankan siasatan segera dan mengambil tindakan sewajarnya, selain dalam masa sama turut memberi makluman kepada kita mengenai status terkini atau perkembangan siasatan kes tersebut.

“… solidariti kita bukan hanya melibatkan kes Faisal Halim tetapi juga atlet lain yang menjadi mangsa jenayah dalam beberapa insiden baru-baru ini,” katanya. 

Beliau berkata tindakan ekstrem itu boleh membantutkan usaha negeri melahirkan lebih ramai atlet yang berwibawa di Malaysia. 

Terdahulu, ADUN Gombak Setia Muhammad Hilman Idham ketika membahaskan usul itu berkata kejadian simbahan asid itu bukan sekadar jenayah keganasan malah turut menyentuh isu kemanusian memandangkan ia dibuat tanpa rasa ihsan dan kemanusiaan.

Beliau berkata perkara sedemikian tidak seharusnya berlaku kerana sukan merupakan platform perpaduan yang menyatupadukan rakyat dan mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh, tegas dan profesional tanpa sebarang kompromi.

ADUN Balakong Ong Chun Wei berkata insiden yang menimpa Muhammad Faisal harus dijadikan iktibar oleh semua pihak khususnya dalam aspek meningkatkan perlindungan terhadap atlet daripada segala keganasan sama ada fizikal mahupun mental.

Beliau juga memuji solidariti yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia apabila tampil menyumbang kepada Tabung Solidariti Bersama Selangor FC yang digerakkan kerajaan negeri.

Turut mengambil bahagian dalam perbahasan usul itu ADUN Lembah Jaya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad, ADUN Hulu Bernam Mu'izzuddeen Mahyuddin dan ADUN Sungai Kandis Wan Dzahanurin Ahmad. 

Selain Muhammad Faisal, negara turut digemparkan dengan insiden jenayah melibatkan beberapa pemain bola sepak lain antaranya Muhammad Akhyar Abdul Rashid, Safiq Rahim dan Ahmad Khuzaimi Piee.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan