WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ZAKARIA SHAABAN KETUA PENGARAH IMIGRESEN YANG BAHARU, RUSLIN TERAJUI AADK

17/09/2024 08:38 PM

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Timbalan Ketua Setiausaha Pendayaupayaan Pengguna, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Zakaria Shaaban dilantik sebagai Ketua Pengarah Imigresen baharu berkuat kuasa hari ini.

Beliau menggantikan Datuk Ruslin Jusoh yang dilantik sebagai Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) baharu, juga berkuat kuasa hari ini. 

Jabatan Imigresen (JIM) dalam hantaran di laman Facebook memaklumkan Majlis Penyerahan Nota Serah Terima Tugas Ketua Pengarah Imigresen Ruslin kepada Zakaria berlangsung di Dewan Hamka, Ibu Pejabat Imigresen di Putrajaya hari ini. 

Zakaria, yang mempunyai pengalaman lebih 25 tahun dalam perkhidmatan awam, memulakan kerjaya di KPDN sebelum menyumbang kepakaran di pelbagai kementerian serta agensi termasuk Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Beliau juga pernah berkhidmat di Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Jabatan Perdana Menteri, Agensi Pengurusan Bencana Negara serta JIM. 

“Kami warga JIM mengucapkan selamat datang dan selamat bertugas kepada YBhg. Dato' Zakaria bin Shaaban,” demikian menurut hantaran itu. 

JIM turut menzahirkan penghargaan kepada Ruslin atas tugas yang dilaksanakan sepanjang menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah jabatan itu sejak 22 Mac 2023.

Sementara itu, AADK dalam kenyataan hari ini memaklumkan Ruslin dilantik sebagai Ketua Pengarah agensi berkenaan yang ke-13 bagi mengisi kekosongan jawatan tersebut sejak 26 April lepas.

Beliau menggantikan Sutekno Ahmad Belon yang bertukar ke Kementerian Sumber Manusia sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi).

“AADK merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan selamat menjalankan tugas kepada Ruslin atas pelantikan ini selain turut menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Sutekno atas khidmat bakti sepanjang memikul tanggungjawab sebagai Ketua Pengarah AADK,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan