WILAYAH - SARAWAK > BERITA

GISBH: POLIS TERUSKAN TINDAKAN TEGAS, TAHAN BEBERAPA LAGI INDIVIDU PENTING

19/09/2024 11:22 PM

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini meneruskan tindakan tegas dengan menahan beberapa lagi individu penting yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Services and Business Holding (GISBH) termasuk pengurusan tertinggi syarikat itu, dalam tangkapan di Kedah dan ibu negara. 

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata ketua pegawai eksekutif syarikat itu antara 19 individu yang ditahan oleh Bahagian D8 Bukit Aman, Pasukan Khas Siasatan Bersepadu daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) D14 Bukit Aman, hasil pemeriksaan serentak yang dilakukan di empat unit kediaman di Bukit Bintang di sini, awal pagi tadi.

Kesemua mereka yang terdiri daripada 12 lelaki dan tujuh wanita berumur antara 25 hingga 65 tahun itu direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung tindakan mengeksploitasi dan pemerdagangan kanak-kanak.

Kes disiasat mengikut Seksyen 32 (a) Akta Kanak-kanak 2001, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2022.

Tangkapan terhadap mereka dilakukan susulan penahan lima individu termasuk anak pengurusan tertinggi syarikat itu di Bukit Kayu Hitam menghala ke Thailand, semalam.

Polis turut merampas dua buah kenderaan rekreasi (motorhome) yang mempunyai lambang syarikat itu yang dipercayai digunakan untuk meloloskan diri ke negara jiran.

Lima individu berkenaan yang berusia 30 hingga 41 tahun itu juga telah direman selama seminggu di Mahkamah Shah Alam hari ini.

Razarudin ketika dihubungi Bernama memberi jaminan akan meneruskan siasatan melibatkan GISBH secara berperingkat.

Selain itu di Seremban, tiga pembantu pelajar sebuah madrasah di Kuala Pilah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 14 pertuduhan melakukan amang seksual terhadap lima kanak-kanak pada 2022 dan 2023.

Muhammad Habib Noh Mohd Zairi, 21, Muhammad Khunais Fathie Khabil, 20, dan Ahmad Nadzful Izham Azizan, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 14 (a) dan Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (AKKSTKK 2017).

Pendakwaan terbaharu itu menjadikan setakat ini seramai lima individu yang mempunyai kaitan dengan syarikat itu telah dihadapkan ke mahkamah atas pelbagai kesalahan.

Ia termasuk pendakwaan terhadap seorang remaja perempuan berusia 19 tahun pada 12 Sept lepas atas empat tuduhan penderaan fizikal terhadap empat kanak-kanak perempuan berusia antara lima hingga enam tahun di sebuah pusat asuhan di Seremban bulan lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta yang sama.

Semalam, seorang ahli perniagaan, Mohamad Riza Makar, 39, didakwa di Mahkamah Majistret Putrajaya atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap seorang wanita pada 9 Sept lepas yang didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

JSJ Bukit Aman melakukan Op Global sejak 11 Sept dengan menyerbu 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISBH dan berjaya menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja, masing-masing 201 lelaki dan 201 perempuan berumur setahun hingga 17 tahun.

Pada Selasa lepas, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan PDRM supaya menjalankan siasatan segera dan menyeluruh berkaitan isu jenayah serta penganiayaan kanak-kanak yang dikaitkan dengan rumah amal GISBH.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan