WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MIHAS 2024: TUN ABDULLAH TERIMA ANUGERAH KHAS TOKOH PEMBANGUNAN HALAL NEGARA

19/09/2024 01:01 PM

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas Tokoh Pembangunan Halal Negara sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024 yang berlangsung empat hari bermula 17 Sept. 

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dalam satu kenyataan hari ini anugerah khas yang julung kali diadakan itu telah disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada anak Tun Abdullah, Tan Sri Kamaluddin Abdullah yang mewakili bapanya pada upacara perasmian MIHAS 2024, Selasa lepas.

Ia turut disaksikan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

“Tun Abdullah dipilih untuk menerima anugerah khas itu atas peranannya mewujudkan ekosistem yang kukuh dalam meletakkan posisi industri halal Malaysia pada tahap kualiti dan kepercayaan global.

“Kini, industri halal menjadi antara sektor paling pesat berkembang dengan nilai pasaran globalnya dijangka mencecah US$5 trilion menjelang 2030,” menurut kenyataan itu.

Menjangkau usia 50 tahun, industri halal di negara ini bermula apabila kerajaan mula mengeluarkan surat-surat pengesahan halal kepada pengilang yang memenuhi kehendak syarak dan Malaysia menjadi negara pertama mewujudkan piawaian berkaitan hal itu yang kemudian menjadi rujukan negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Menurut kenyataan itu, pembangunan industri halal berkenaan dipelopori oleh pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Perbadanan Pembangunan Halal (HDC).

Di bawah pentadbiran Tun Abdullah, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai insentif ekonomi berkaitan halal termasuk MIHAS pada 2004 dan menubuhkan HDC pada 2006.

Bermula dengan jumlah RM200 juta yang dicatatkan 20 tahun dahulu, MIHAS telah berkembang menjadi pameran perdagangan Halal terbesar di dunia dengan jualan mencecah RM3.2 bilion pada tahun lepas. 

Kini, secara kumulatif MIHAS telah berjaya menjana jualan lebih RM24 bilion melalui penyertaan 10,000 pempamer dan 7,000 wakil pembeli antarabangsa.

Hampir 500,000 pelawat perdagangan telah menghadiri MIHAS sepanjang penganjurannya, menjadikan ia destinasi utama untuk pemain halal dunia.

Kenyataan itu memaklumkan, dengan pelbagai anugerah serta pencapaian yang telah dikecapi termasuk yang terbaharu, pengiktirafan oleh Guiness World Records bagi 'Kehadiran terbesar dalam Pameran Perdagangan Halal', MIHAS kini menjadi jenama unggul dalam pembangunan industri halal.

Bertemakan 'Mengglobalisasikan Inovasi Halal', MIHAS anjuran MATRADE dan MITI dengan diuruskan oleh Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd, MIHAS kini sedang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan