WILAYAH - UTARA > BERITA

10 PERJALANAN FERI LANGKAWI-KUALA KEDAH-LANGKAWI DIBATALKAN

19/09/2024 01:08 PM

ALOR SETAR, 19 Sept (Bernama) -- Sebanyak 10 perjalanan feri laluan Langkawi-Kuala Kedah-Langkawi terpaksa dibatalkan berikutan angin kencang dan ombak besar di perairan Kuala Kedah hari ini.

Pengurus Besar Konsortium Ferrylines Ventures Sdn Bhd Kapten Dr Baharin Baharom berkata semua operasi feri bagi laluan berkenaan dibatalkan bagi hari ketiga berikutan angin kencang dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer perjam (km/j) serta ombak setinggi 3.5 meter.

“Operasi feri hari ini terpaksa dibatalkan kerana ia boleh membahayakan keselamatan penumpang dan anak kapal. Sebuah feri yang bertolak dari Langkawi ke Kuala Kedah pada 8.30 pagi tadi yang membawa 589 penumpang juga terpaksa berpatah balik.

“Sebanyak lima feri dari laluan Langkawi ke Kuala Kedah dibatalkan hari ini yang melibatkan seramai 2,472 penumpang iaitu feri pada 8.30 pagi; 10.30 pagi; 12 tengah hari; 1.30 tengah hari dan 2.30 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bagi laluan Kuala Kedah ke Langkawi pula sebanyak lima feri yang melibatkan 1,041 penumpang terpaksa dibatalkan iaitu feri pada 10 pagi; 11.30 pagi; 1.30 tengah hari; 3 petang dan 4.30 petang.

“Lencongan perjalanan melalui Terminal Penumpang Kuala Perlis, Perlis akan dilakukan berdasarkan keupayaan terminal berkenaan menerima jumlah feri pada satu-satu masa berdasarkan kelulusan Jabatan Laut Malaysia.

“Penumpang yang terjejas boleh menuntut bayaran balik atau menukar tarikh perjalanan dan bagi penumpang yang membuat pembelian insurans bernilai RM1.08 mereka boleh membuat tuntutan insurans,” katanya.

Baharin berkata bagi feri yang ditunda antara empat hingga lapan jam, penumpang akan menerima tuntutan insurans berjumlah RM50; feri ditunda melebihi lapan jam (RM200); perbelanjaan perubatan akibat kemalangan (hingga RM1,000); kehilangan bagasi (hingga RM200); kematian dan hilang supaya kekal akibat kemalangan (RM30,000) dan perbelanjaan pengebumian bagi semua kes berjumlah RM500.

“Tuntutan insurans boleh dilakukan dengan menghantar butiran tuntutan beserta dokumen sokongan kepada ANcare@agentnow.com.my atau berhubung dengan pegawai Puan Adeline di talian 012-4109614; Puan Go (016-4540128); Cik Afa (013-6754046) atau pejabat di talian 04-2279999.

“Sebarang pertanyaan boleh dibuat bermula 10 pagi hingga 4 petang dari Isnin hingga Jumaat. Perjalanan keluar masuk ke Langkawi melalui Terminal Penumpang Kuala Perlis masih selamat untuk semua operasi perkhidmatan feri dan feri roll-on roll-off (RORO) ketika ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan