WILAYAH - TENGAH > BERITA

NAFAS LANCAR PRODUK BAJA CECAIR PELADANG 25

19/09/2024 07:56 PM

SERDANG, 19 Sept (Bernama) -- Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) melalui syarikat subsidiarinya NAFAS Bajakimia Sdn Bhd (NBKSB) hari ini melancarkan produk baja Peladang 25, iaitu baja cecair pelepasan terkawal terbaharu di pasaran.

Peladang 25 merupakan baja cecair dirumus khas dengan pelepasan terkawal iaitu kandungan nitrogen (N) dalam baja itu dilepaskan secara perlahan-lahan bagi memastikan tanaman mendapat nutrien berterusan dan berkesan sepanjang tempoh pertumbuhan.

Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang  Datuk Mahfuz Omar berkata Peladang 25 membuktikan keupayaan NAFAS dalam inovasi baja bagi semua sektor dan satu permulaan positif untuk menyaingi industri baja yang lebih besar.

Mahfuz berkata produk itu juga merupakan satu mekanisme baharu dalam menyokong pertanian mampan di samping mengekalkan kelestarian alam sekitar.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Peladang 25 sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Jemaah Pengarah NAFAS Datuk Mohd Rosli Harun dan Pengurus Besar NAFAS Muhammad Faris Ariffin.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif NBKSB Zalifudin Md Arshad berkata produk berkenaan telah melalui kajian selama dua musim bersamaan tempoh setahun di Bahagian Teknikal Jabatan Pertanian bagi mengoptimumkan fungsi baja cecair yang dilihat dapat membantu mengurangkan pembaziran nutrien dan mesra alam sekitar.

“Baja cecair ini sesuai untuk semua jenis tanaman termasuk padi, kelapa sawit, nanas dan rumput napier dan NAFAS menyasarkan peningkatan pengeluaran hasil tanaman antara 10 hingga 15 peratus.

“Untuk kawasan tanaman seluas satu hektar, kita perlukan satu botol Peladang 25 dan ia juga sesuai untuk mekanisasi semburan baja seperti dron dan boleh diguna bersama racun kulat serta rumpai,” katanya.

Ditanya perbezaan antara baja pepejal dan Peladang 25, Zalifudin berkata produk baharu itu tidak bergantung kepada apa-apa bekalan air dan sesuai untuk keadaan ladang yang kering atau lembap.

“Baja pepejal apabila bertindak balas dengan air, ia akan membeku disebabkan ada 46 peratus nitrogen dan satu peratus cecair, sedangkan ini (Peladang 25) ada 25 peratus nitrogen dan boleh interaksi dengan kandungan air yang banyak tanpa membeku,” katanya.

Nitrogen merupakan komponen penting dalam asid amino untuk membina protein, asid nukleik dan klorofil yang menukarkan tenaga matahari menjadi gula selain penting untuk metabolisme dan kesihatan tanaman.

Peladang 25 didatangkan dalam botol tiga liter yang dijual pada harga RM50 sebotol serta boleh didapati menerusi ejen dilantik NAFAS.

Maklumat lanjut mengenainya boleh didapati di https://www.facebook.com/nafashq.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan