WILAYAH - TIMUR > BERITA

BELANJAWAN 2025: MOF SEDIA PERUNTUKAN MENCUKUPI UNTUK SEKTOR PELANCONGAN

19/09/2024 06:28 PM

KUALA TERENGGANU, 19 Sept (Bernama) -- Kementerian Kewangan (MOF) akan menyediakan peruntukan mencukupi untuk sektor pelancongan negara sebagai persediaan Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Menteri Kewangan II Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata Malaysia mempunyai banyak ruang untuk meningkatkan kefahaman negara luar mengenai negara ini dalam sektor pelancongan dengan menjadi Pengerusi ASEAN.

"Tahun 2026 pula ialah Tahun Melawat Malaysia, jadi kita harus membuat persediaan untuk kedua-dua perkara ini kerana pelancongan ialah sektor yang sangat penting.

"Sektor ini penting kerana ia cepat dalam menjana hasil untuk negara dan alhamdulillah tahun ini kita nampak perkembangan yang baik … Malaysia akan menerima pelancong yang lebih ramai berbanding sebelum pandemik COVID-19," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi libat urus bersama penggiat pelancongan Terengganu berkenaan Belanjawan 2025 di Muzium Terengganu di sini hari ini. 

Beliau berkata walaupun perbincangan melibatkan sektor pelancongan dibuat di Terengganu, namun MOF akan mengambil kira dapatan sesi libat urus itu untuk menambah baik sektor pelancongan di seluruh negara pada belanjawan tahun hadapan. 

"Pertama, kita faham akan ada Tahun Melawat Malaysia 2026. Jadi, kita kena ada pembaikan atau penyelenggaraan infrastruktur di seluruh negara. Kita akan lihat keutamaan untuk tingkatkan lagi bagi memberi keselesaan kepada pelancong. 

"Kedua, kita juga terima cadangan … mungkin kita boleh tolong mereka yang terlibat dalam industri ini untuk dapat sokongan dari segi galakan insentif atau meningkatkan kemahiran seperti menjadi pemandu pelancong yang berpengalaman. Perkara ini kita akan diteliti bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC)," katanya. 

Amir Hamzah berkata dalam sesi kesembilan libat urus MOF dengan penggiat industri itu, beliau turut menerima permintaan untuk memperincikan infrastruktur kewangan yang bersesuaian kepada pemain sektor pelancongan. 

"Ini ialah usaha jelajah Belanjawan 2025 kerana kita merasa penting untuk mendapatkan pandangan menyeluruh dalam menyediakan bajet yang lebih baik dan berfokus sebagai langkah meningkatkan ekonomi negara," katanya.

Sementara itu, mengulas kebanjiran rakyat Malaysia ke Thailand baru-baru ini, Amir Hamzah berkata rakyat disaran mengutamakan pelancongan domestik untuk membantu merangsang ekonomi negara berbanding melancong ke luar negara walaupun nilai ringgit sedang mengukuh. 

"Alhamdulillah, ringgit kita makin mengukuh. Kalau tengok kenaikan tahun ini sahaja ringgit kukuh lebih kurang tujuh peratus. Dari segi ekonomi, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku tahun pertama naik 4.2 peratus dan 5.9 peratus pada suku kedua. 

"Jadi, apabila semakin baik rakyat dapat ruang untuk merasa lebih sedikit (melancong ke luar negara). Tetapi, kita galakkan mereka rasa dulu apa yang ditawarkan oleh negara kita kerana saya rasa kita ada banyak khazanah semula jadi, benda-benda baharu yang rakyat harus berbangga," katanya. 

Media sebelum ini melaporkan hampir 100,000 pelancong Malaysia ke Thailand bersempena dengan cuti persekolahan dan Hari Malaysia baru-baru ini, yang menyumbang lebih 1 bilion Baht (RM129 juta) kepada ekonomi negara berkenaan. 

Sementara itu, ditanya mengenai isu penyaluran Wang Ihsan kepada Terengganu, Amir Hamzah berkata kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri berkongsi matlamat yang sama dalam mengukuhkan ekonomi negara dan sentiasa mencari jalan untuk bekerjasama. 

"Apabila ada cadangan yang dapat selesaikan isu di dalam negara seperti kemiskinan dan meningkatkan infrastruktur asas untuk rakyat, kita sentiasa sedia untuk bekerjasama. Tiada isu anda menang, saya kalah. Soalnya kaedah untuk kita membina Malaysia," katanya. 

Sebelum ini, kerajaan negeri dilaporkan akan berusaha menuntut baki pembayaran royalti petroleum atau wang ihsan yang dianggarkan mencecah lebih RM1 bilion, termasuk baki kira-kira RM700 juta yang belum dilunaskan oleh kerajaan Persekutuan bagi 2023 dan bayaran untuk tahun ini.  

Pada April, kerajaan Persekutuan sudah menyalurkan wang ihsan sebanyak RM172.3 juta kepada Terengganu dan RM58.6 juta kepada Kelantan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan