WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KERAJAAN UTAMAKAN PENDEKATAN INKLUSIF, BERHIKMAH TANGANI ISU BERKAITAN ISLAM - PM

19/09/2024 07:56 PM

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Kerajaan Perpaduan mengutamakan pendekatan yang lebih inklusif dan berhikmah dalam mencari jalan terbaik terhadap sebarang isu berkaitan agama Islam di negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kerajaan pimpinannya juga terus komited dalam mengemukakan mesej Islam yang rahmah serta berorientasi keadilan dan ihsan seiring semangat Malaysia MADANI.

"Saya percaya melalui muafakat dan perbincangan yang tuntas, kita boleh mencari banyak kesepakatan dalam menambah baik dan menguruskan urusan hal ehwal Islam di Malaysia," katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.

Menerusi hantaran sama, Perdana Menteri turut berkongsi mengenai sesi pertemuan dan musyawarah beliau bersama para agamawan di Putrajaya bagi bertukar pandangan mengenai pembangunan hal ehwal Islam serta isu semasa yang berkaitan di Malaysia.

Hadir dalam perbincangan itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Datuk Dr Nooh Gadot, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Profesor Madya Dr Luqman Abdullah dan Mufti Perak Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh.

Turut hadir Mufti Sabah Datuk Bungsu@Aziz Jaafar, Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad dan Mufti Pahang Profesor Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan