WILAYAH - UTARA > BERITA

PULAU PINANG AKAN BINCANG BANTUAN KEPADA MANGSA BANJIR

19/09/2024 09:36 PM

TASEK GELUGOR, 19 Sept (Bernama) --  Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mengadakan perbincangan dalam masa terdekat untuk memutuskan bantuan yang akan diberikan kepada mangsa banjir di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang Lim Siew Khim berkata perbincangan itu akan dibuat dengan Ketua Menteri Chow Kon Yeow bagi menentukan bantuan apa yang akan disalurkan.

"Hari ini saya hadir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Lahar Yooi untuk melawat mangsa-mangsa banjir dan dalam masa sama melihat keperluan bantuan yang mereka perlukan.

"Berhubung bantuan oleh kerajaan negeri, saya akan berbincang dengan Ketua Menteri Chow Kon Yeow untuk melihat cara terbaik kita boleh membantu mangsa, mesyuarat itu akan diadakan dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di PPS SK Lahar Yooi di sini hari ini.

Sehingga pukul 7.30 malam ini, seramai 590 mangsa banjir ditempatkan di lapan PPS di seluruh negeri itu selepas hujan lebat dan ribut melanda Pulau Pinang sejak tiga hari lepas menyebabkan banyak kawasan dilanda banjir.

Lim berkata mangsa-mangsa banjir masih belum dibenarkan pulang ke rumah mereka kerana masih belum selamat berikutan air banjir belum lagi kering sepenuhnya.

Pemeriksaan pasukan keselamatan bertugas mendapati rumah penduduk digenangi air berikutan hujan lebat sebelum ini yang bertembung dengan air laut pasang besar.

“Saya cakap dengan mangsa yang tinggal di sini, mereka maklumkan rasa syukur dengan semua bantuan yang diberikan dan ia mencukupi, kita semua berdoa agar keadaan bertambah baik supaya mereka dapat pulang ke rumah,” katanya.

Lim menambah bahawa beliau bersyukur tiada kemalangan jiwa atau sesiapa yang cedera dalam kejadian banjir yang melanda negeri itu.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan