WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KERJASAMA KPKM, AGROBANK PERKASA KOMUNITI AGROPRENEUR MUDA

19/09/2024 10:37 PM

PUTRAJAYA, 19 Sept (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkerjasama dengan Agrobank memperkasakan komuniti agropreneur muda melalui Program Pembangunan Belia Tani Dalam Kalangan Siswazah (PROBEST 2.0 2024).

Program pembangunan belia dengan peruntukan dana RM1.69 juta itu bertujuan membuka peluang kepada anak muda terutamanya golongan asnaf dan B40 di institusi pengajian tinggi menimba ilmu keusahawanan sekali gus membantu mereka menjana pendapatan. 

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata PROBEST 2.0 2024 mendedahkan golongan belia kepada latihan dan bimbingan teknikal yang memfokus kepada industri berasaskan pertanian seperti tanaman dan penternakan.

"Program pembangunan agropreneur muda ini melibatkan tempoh penyertaan selama 12 bulan dan tertumpu bukan sahaja pada aspek pengeluaran tetapi juga kemahiran perniagaan. 

"Pada enam bulan pertama, peserta akan dibekalkan dengan bantuan elaun bulanan sebanyak RM500, dana permulaan, alat kelengkapan projek, latihan keusahawanan dan bantuan teknikal projek," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata enam bulan seterusnya, peserta akan dibimbing untuk pengembangan perniagaan dengan memohon geran Agropreneur Muda (GAM) dan mereka yang berjaya menamatkan program itu digalakkan untuk mencari tapak baharu bagi perkembangan perniagaan.

"Inisiatif ini memberi peluang kepada pelajar terutamanya daripada latar belakang kurang berkemampuan mempelajari kemahiran yang boleh dijadikan sumber pendapatan.

“Melalui PROBEST ini, kami menyasarkan pendapatan tambahan peserta mencapai RM1,500 hingga RM2,000 sebulan daripada hasil jualan sendiri dan kepada syarikat peneraju,” katanya.

Beliau berkata bagi pelaksanaan program PROBEST 2.0, Agrobank telah memperuntukkan kos keseluruhan berjumlah RM2.29 juta.

Dalam pada itu, program kali ini memberi peluang penyertaan kepada 61 pelajar terpilih dengan keutamaan kepada golongan asnaf dan B40 manakala intitusi pengajian tinggi yang terlibat adalah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Samarahan dan tiga kolej vokasional.

PROBEST merupakan manifestasi Agrobank untuk mengurangkan jurang ekonomi dan membuka peluang kepada mereka yang tidak mempunyai akses kepada sumber dan modal, selain menggalakkan golongan belia untuk menceburi sektor pertanian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan