WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MOSTI CADANG ANJUR PERTANDINGAN ROBOT TEMPUR ASEAN TAHUN DEPAN

20/09/2024 09:12 AM

KUALA LUMPUR, 20 Sept  (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)  bercadang untuk menganjurkan Pertandingan Robot Tempur Malaysia peringkat ASEAN, pada tahun hadapan.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata cadangan tersebut mengambil kira peranan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN pada 2025, bagi membuka peluang serta menarik perhatian negara-negara ASEAN terhadap bidang robotik di negara ini.

"Kami di MOSTI sentiasa komited dalam memastikan program seperti ini diberikan sokongan penuh, agar inovasi dan penyertaan anak muda dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) dapat dipertingkatkan.

"Selain itu, kami berharap pertandingan terbuka Malaysia ini dapat dilaksanakan dengan lebih besar, malah... diadakan secara global dengan jemputan kepada negara-negara ASEAN, terutamanya... bagi memberi peluang kepada juara tahun ini bertanding di peringkat ASEAN tahun depan," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penutupan Pertandingan Robot Tempur Malaysia 2024 di sini, hari ini.

Menurut Mohammad Yusof, pertandingan robotik bukan hanya menjadi platform untuk menguji kemahiran, tetapi juga mengasah kreativiti, strategi, dan kerja berpasukan dalam kalangan peserta.

Pertandingan Robot Tempur Malaysia 2024 dianjurkan oleh MOSTI melalui Pusat Sains Negara (PSN) terbuka kepada golongan belia daripada Institut Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta, Institut Latihan Perindustrian (ILP), Institut Kemahiran MARA, politeknik, komuniti robotik dan individu.

Pertandingan bertemakan "Keep Fighting" atau "Terus Berjuang" itu dimenangi Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TARUMT), yang mengekalkan kejuaraannya untuk dua tahun berturut-turut.

Sementara itu, pelajar jurusan kejuruteraan TARUMT, Hagrid Cheah, 22, berkata pasukannya berpeluang memperluas pengetahuan mereka mengenai pembinaan robot berdaya tahan tinggi melalui pertandingan ini.

"Kami melakukan kajian mengenai senjata yang dipilih dan merujuk kepada profesional robot tempur dari Amerika Syarikat, India, dan Korea. Kami mempelajari robot mereka, menjadikannya sebagai rujukan, dan kemudian mencipta robot kami berdasarkan maklumat dan sumber tersebut," katanya.

Pertandingan Robot Tempur Malaysia 2024, yang berlangsung dari 16 hingga 19 Sept di PSN itu menawarkan hadiah wang tunai dari RM500 hingga RM10,000.

Program tersebut merupakan kerjasama strategik antara PSN, MOSTI, dan Hibiscus Petroleum Berhad, yang komited memperkukuh agenda pembangunan bakat dan inovasi di Malaysia.

Selain menyokong pengembangan teknologi tempatan, kerjasama ini juga mengukuhkan hubungan antara sektor awam dan swasta dalam mencapai matlamat menjadikan negara sebagai hab inovasi serantau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan