WILAYAH - SELATAN > BERITA

HARGA JAGUNG REBUS CAWAN KEKAL RM2 SEJAK 24 TAHUN

20/09/2024 10:18 AM

KLUANG, 20 Sept (Bernama) --  Peniaga jagung rebus Hasrin Masnawi, 55, kekal menjual kudapan yang dihidangkan bersama mentega dan susu pekat pada harga RM2 secawan, sama seperti ketika beliau mula berniaga 24 tahun lalu.

Menurut Hasrin, harga tersebut membolehkan beliau menjual sekitar 600 cawan kudapan itu setiap hari, sekali gus memperoleh keuntungan yang memadai untuk menambah pendapatan bulanan bagi menyara lima orang anak.

"Walaupun keuntungan tidak begitu besar, saya gembira kerana lebih ramai dapat menikmati jagung rebus ini dan menjadi pelanggan tetap. Selain itu, saya menganggapnya sebagai satu cara untuk bersedekah," katanya ketika ditemui di gerainya di Jalan Dato Tan Seng Leong di sini, hari ini.

Hasrin berkata persiapan membuka gerai bermula pada 6.30 petang setiap hari, kerana beliau mempunyai pekerjaan tetap pada sebelah pagi, dengan bekalan barangan diperoleh dari pasar raya berhampiran.

Sebelum ini, beliau selesa mengendalikan gerainya sendiri, namun sejak beberapa hari kebelakangan ini, Hasrin telah menggaji seorang pembantu kerana tidak menang tangan melayan pelanggan yang semakin bertambah, terutama berikutan berlangsungnya Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Sementara itu, anak jati Kluang, Nor Azhani Mohamad Yusof, 35, berkata selain harga, rasa dan kuantiti jagung rebus tersebut kekal sama seperti kali pertama beliau membelinya sejak awal gerai itu dibuka.

"Jagung rebus dalam cawan ini menjadi hidangan wajib setiap kali saya pulang ke sini. Bukan sahaja saya, malah seisi keluarga turut menggemarinya. Walaupun pernah mencuba jagung rebus di tempat lain, pengalaman menikmati jagung rebus di sini memang berbeza," katanya yang kini menetap di Jerantut, Pahang.

Seorang lagi pelanggan Sadik Sani, 31, yang bekerja di Kuala Lumpur berkata gerai jagung tersebut akan dikunjungi jika ke Kluang, bagi menghilangkan kerinduan terhadap rasa jagung yang cukup masin, manis dan berlemak itu.

“Jagung rebus dalam cawan ini paling enak dinikmati ketika masih panas. Abang Hasrin juga cekap. Walaupun ramai pelanggan, kami tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan pesanan, meskipun dia bekerja tanpa pembantu," katanya.

PRK DUN Mahkota yang terletak dalam daerah Kluang akan berlangsung pada 28 Sept ini, melibatkan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah dan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar.

PRK ini diadakan susulan kematian penyandang kerusi tersebut, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, pada 2 Ogos lalu ketika menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom di sini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan