WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PEMBANTU PENGAJAR MADRASAH BERDEPAN ENAM PERTUDUHAN AMANG SEKSUAL

20/09/2024 05:36 PM

SEREMBAN, 20 Sept (Bernama) -- Seorang lagi pembantu pengajar di sebuah madrasah di Kuala Pilah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan melakukan amang seksual terhadap empat kanak-kanak lelaki, tahun lepas.

Muhammad Fawzun Azim Ismail membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Pemuda berumur 20 tahun itu berdepan dua pertuduhan iaitu membuat dua kanak-kanak lelaki berusia 12 dan 13 tahun melakukan sentuhan fizikal secara seksual terhadap dirinya di madrasah berkenaan pada 2023 yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Dia juga berdepan empat pertuduhan melakukan sentuhan seksual fizikal terhadap empat kanak-kanak lelaki berusia 10 hingga 13 tahun, dengan kesemua kesalahan dilakukan di madrasah sama pada tahun sama dan pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 14 (a) AKKSTKK 2017.

Kesemua enam pertuduhan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan. 

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Balkis Zunaidi mencadangkan jaminan RM30,000 bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan saksi, perlu melapor diri ke balai polis setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah serta boleh dihubungi pihak berkuasa pada bila-bila masa.

Bagaimanapun, tertuduh merayu jaminan dikurangkan kerana baru menyambung pengajian di sebuah pusat kemahiran tempatan bulan lepas.

Bapa tertuduh turut merayu jaminan rendah dikenakan atas alasan sama namun mahkamah meminta mereka memberikan bukti tertuduh merupakan pelajar di pusat kemahiran tersebut.

Hakim Surita kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM12,000 bagi setiap pertuduhan serta syarat tambahan yang dikemukakan Nurul Balkis, selain penjamin perlu memastikan tertuduh hadir ke mahkamah dan menetapkan 30 Okt ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Semalam, tiga pembantu pengajar di madrasah yang sama mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas 14 pertuduhan melakukan amang seksual terhadap lima kanak-kanak pada 2022 dan 2023.

Mereka terdiri daripada Muhammad Habib Noh Mohd Zairi, 21, Muhammad Khunais Fathie Khabil, 20, dan Ahmad Nadzful Izham Azizan, 22.

Minggu lepas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menerusi Op Global menyerbu 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISB Holdings dan menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja, masing-masing 201 lelaki dan 201 perempuan berumur setahun hingga 17 tahun.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan