WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PASUKAN MALBATT SELAMAT, KENDERAAN ROSAK DISERANG ORANG AWAM LUBNAN

20/09/2024 11:11 AM

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan Anggota Battalion 850-11 (MALBATT 850-11) bagi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di Lubnan yang terlibat dalam satu insiden serangan orang awam di negara berkenaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. 

ATM dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kejadian yang berlaku pada Rabu lepas sekitar 11.32 malam waktu Malaysia itu, melibatkan tiga pegawai dan tujuh anggota lain-lain pangkat ketika dalam perjalanan pulang ke Kem Marakah selepas menyelesaikan penugasan perlindungan pasukan (force protection) di Kem Shama, Markas UNIFIL.

"Ketika pasukan berkenaan melalui laluan di Tes Road-Burj Al Qibli di bandar Tyre, satu kesesakan luar biasa berlaku di mana ramai orang awam sedang mengawal lalu lintas dan banyak kenderaan ambulans serta bomba melalui dari kedua-dua arah.

"Secara tiba-tiba, sekumpulan orang awam bertindak agresif dengan cuba memberhentikan kedua-dua buah kenderaan jenis Fitted For Radio (FFR) MALBATT," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa hampir 30 orang awam membaling batu dan memancitkan kesemua tayar kenderaan pasukan menggunakan senjata tajam.

“Bagi mengelak kejadian yang lebih buruk, kedua-dua buah kenderaan telah berhenti di tepi jalan dan kekal berada di dalam kenderaan sehingga Lebanon Armed Forces (LAF) tiba di lokasi untuk mengiringi kedua-dua kenderaan pulang. 

“Kesemua anggota berserta kenderaan telah tiba di Kem Marakah dengan selamat pada 1.39 pagi waktu Malaysia atau 7.39 malam waktu Lubnan, bagaimanapun kedua-dua buah kenderaan mengalami beberapa kerosakan,” menurut kenyataan itu. 

MALBATT 850-11 akan meneruskan rutin tugasan seperti yang ditetapkan oleh UNIFIL, dan semua pihak diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai insiden tersebut yang boleh mencemarkan imej ATM khususnya dan Kementerian Pertahanan amnya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan