WILAYAH - SARAWAK > BERITA

FAHMI UCAP TAKZIAH KEPADA KELUARGA EDDIN SYAZLEE

20/09/2024 04:53 PM

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengucapkan takziah kepada keluarga bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Eddin Syazlee Shith yang meninggal dunia hari ini.

Menerusi hantaran di platform X, Fahmi berkata Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 50 tahun itu merupakan seorang sahabat dalam arena politik yang berpengalaman dan sentiasa bersikap terbuka.

“Saya doakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan beramal soleh.

“Takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Al-Fatihah,” katanya.

Eddin Syazlee meninggal dunia pada 7.10 pagi tadi di rumahnya di Taman Bukit Chedang, Seremban, Negeri Sembilan.

Allahyarham meninggalkan seorang balu Datin Dr Nurul Azlin Ibrahim dan dua cahaya mata lelaki serta seorang perempuan.

Eddin Syazlee pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Timbalan Menteri Kerja Raya.

Sementara itu, Menteri Digital Gobind Singh Deo menerusi hantaran di Facebook turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Eddin Syazlee.

Gobind berkata Allahyarham ialah Timbalan Menteri semasa beliau memegang jawatan sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia pada 2018 hingga 2020.

“Dengan berat hati dan sedih, saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga sahabat saya arwah Datuk Eddin Syazlee Shith.

“Semoga semua ahli keluarga tabah dan sabar menghadapi dugaan ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan