WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MANGSA DI BANJIR KEDAH MENINGKAT KEPADA 6,760 ORANG MALAM INI

20/09/2024 11:06 PM

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Kedah terus bertambah kepada 6,760 orang setakat 8 malam ini, meningkat berbanding 6,575 orang petang tadi manakala situasi di Perlis dan Pulau Pinang bertambah baik.

Menurut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa di KEDAH melibatkan 2,171 keluarga dan mereka ditempatkan di 41 pusat pemindahan sementara (PPS).

Daerah Kota Setar mencatatkan jumlah mangsa teramai iaitu 3,003 orag, diikuti Kubang Pasu (1,602), Pendang (933 orang), Pokok Sena (910 orang), Kuala Muda (184 orang) dan Bandar Baharu 128 orang manakala dua PPS di daerah Kulim ditutup sepenuhnya petang tadi. 

Sementara itu, laman sesawang Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan paras air di enam sungai berada pada paras bahaya.

Sungai tersebut adalah Sungai Padang Terap di Kepala Batas, Sungai Bata di Kampung Bata, Sungai Laka di Kampung Padang Pasir di Kubang Pasu serta Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR dan Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya, Kota Setar.

Di PULAU PINANG, dua PPS ditutup petang tadi iaitu Sekolah Agama Rakyat Nyior Sebatang di Seberang Perai Utara (SPU) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permatang Pasir.

Setakat 8 malam ini, 427 orang masih berlindung di lima PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Menora, SK Lahar Yooi, Pusat Penempatan Banjir Labuh Banting, Sekolah Rendah Islam Maahad At Tarbiah Guar Jering dan Dewan MPKK Sanglang.

Keadaan banjir di PERLIS juga semain baik apabila jumlah mangsa berkurang daripada 108 orang petang tadi kepada 90 setakat 8 malam ini. 

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata kesemua mereka berada di tiga PPS iaitu SK) Sena di Kangar dan SK Dato Ahmad Musa serta SK Kubang Gajah di Arau.

Di SELANGOR, seramai 101 masih berlindung di PPS Institut Pengurusan Peladang Tanjong Karang yang dibuka sejak semalam susulan kejadian air pasang besar di Kampung Baru Lembah Pantai.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)  Selangor memaklumkan keadaan air semakin surut namun pemantauan terus dilakukan. 

Sementara itu, di PERAK sebuah PPS dibuka di Bagan Serai dengan menempatkan 16 mangsa banjir akibat limpahan air Sungai Kerian petang tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataan malam ini memaklumkan PPS di SK Changkat Lobak itu dibuka pada 6 petang tadi selepas kawasan Kampung Matang Tengah dinaiki air.

Menurutnya laluan FT147 di Kilometer 15 Jalan Selama-Bagan Serai terpaksa ditutup untuk semua jenis kenderaan ringan ekoran banjir di jalan berkenaan.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan akan melanda kesemua daerah di Perak malam ini kecuali Bagan Datuk.

Selain itu, paras air Sungai Perak di  Kuala Kenderong, Hulu Perak berada pada tahap bahaya iaitu 111.92 meter (m) dan Kolam Air Bukit Merah, Kerian berada pada tahap amaran 9.07m. 

Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak pula memaklumkan  terdapat tanah runtruh di Jalan Raya Timur Barat Kupang Gerik–Jeli, Hulu Perak yang menyebabkan hanya satu lorong dibuka untuk laluan. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan