WILAYAH - SARAWAK > BERITA

POLIS SERBU TIGA RUMAH KELUARGA KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF GISBH DI KELANTAN

21/09/2024 02:57 PM

KOTA BHARU, 21 Sept (Bernama) -- Polis Kelantan hari ini menyerbu tiga buah rumah yang dipercayai menjadi penempatan keluarga ketua pegawai eksekutif GISB Holdings (GISBH) di Kampung Panji, di sini.

Serbuan dilakukan sepasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan itu, bermula pada 6.30 pagi tadi dan berakhir kira-kira 9 pagi.

Wartawan Bernama yang turut menyertai operasi terbabit mendapati kira-kira 30 penghuni termasuk isteri kedua dan lebih 20 kanak-kanak mendiami tiga kediaman itu.

Polis turut merampas pelbagai jenis buku dan dokumen berkaitan GISBH yang ditanam di tepi pinggir sungai, selain ada yang turut dibakar.

Bernama difahamkan rumah berkenaan menjadi tempat menginap ahli GISBH sejak puluhan tahun, dengan penghuni yang bertukar ganti.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi memaklumkan operasi hari ini diadakan secara besar-besaran di beberapa negeri termasuk Kelantan.

Beliau berkata perincian mengenai operasi itu akan diberikan dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, tinjauan Bernama di Kampung Panji mendapati puluhan buku berkaitan ajaran yang diperjuangkan GISBH ditanam di tepi sungai berdekatan kediaman pengikut kumpulan berkenaan.

Wartawan Bernama difahamkan kesemua buku berkenaan ditanam dipercayai selepas seorang pengurusan tertinggi GISBH ditahan polis baru-baru ini.

Berikutan itu, sebahagian besar buku pula dilihat telah dibakar dan keadaan lokasi masih berbau asap, manakala buku yang lebih tebal dan besar ditanam.

Pada 11 Sept, polis menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja dari 20 rumah amal yang dikaitkan dengan GISBH di Selangor dan Negeri Sembilan, yang disyaki menjadi mangsa  eksploitasi buruh dan seksual.

Serbuan itu juga mendedahkan kes pengabaian dan penganiayaan yang membawa kepada penahanan 171 individu termasuk 105 wanita.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan