WILAYAH - SELATAN > BERITA

LAGU AI 'HUSSIEN HUSSIEN UNTUK MAHKOTA' TARIK PERHATIAN PENGUNDI

21/09/2024 04:17 PM

KLUANG, 21 Sept (Bernama) -- Lagu 'Hussien Hussien untuk Mahkota' yang menggunakan suara kecerdasan buatan (AI) antara pendekatan Barisan Nasional (BN) bagi menarik perhatian pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh berkata lagu dalam tiga bahasa iaitu Melayu, Cina dan Tamil nukilan Ketua Penerangan Pemuda UMNO Mohammad Sollehin Mohamad Tajie itu hanya mengambil masa sehari untuk disiapkan. 

Lagu itu mula digunakan15 Sept lepas pada kempen di media sosial termasuk aplikasi TikTok.  

"Calon kita Syed Hussien Syed Abdullah ialah orang muda dan ini antara kaedah untuk kita memperkenalkan beliau kepada pengundi, khususnya golongan muda kerana di DUN Mahkota terdapat peratusan besar orang muda. 

"Pengundi masa kini khususnya anak muda, mereka tidak berminat dengan ceramah mega dan disebabkan itu, kita mengambil alternatif lain dengan mencipta lagu," katanya kepada pemberita selepas menyertai program memancing bersama penduduk di Taman Ilham di sini hari ini. 

Pendekatan melalui lagu juga telah dibuat sebelum ini iaitu pada PRK DUN Nenggiri yang berkonsepkan dikir barat, mengambil kira lokasi pilihan raya itu di Kelantan, kata Dr Muhamad Akmal.

Bagi memastikan sebutan dan susunan ayat pada versi Bahasa Cina dan Tamil tepat, lagu itu disemak oleh Ketua Pemuda MCA Ling Tian Soon serta bekas Ketua Pemuda MIC K. Raven Kumar, dengan kedua-dua mereka merupakan Exco Johor.

Dr Muhamad Akmal berkata lagu itu mendapat sambutan baik apabila beliau melihat anak muda menyanyikan lagu itu semasa berjumpa Syed Hussien.

PRK DUN Mahkota pada 28 Sept ini menyaksikan pertembungan antara Syed Hussien dengan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan