WILAYAH - UTARA > BERITA

MANGSA BANJIR DI KEDAH MENINGKAT KEPADA 8,022 ORANG SETAKAT 4 PETANG

21/09/2024 05:51 PM

KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Kedah terus mencatatkan peningkatan setakat 4 petang tadi, sementara mangsa banjir di Selangor ekoran fenomena air laut pasang besar telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Menurut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mangsa banjir di KEDAH meningkat kepada 8,022 orang melibatkan 2,568 keluarga yang ditempatkan di 40 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah berbanding 7,494 orang pagi tadi.

Daerah Kota Setar mencatatkan jumlah mangsa terbanyak iaitu 4,117 orang, diikuti Kubang Pasu (1,483), Pendang (1,434), Pokok Sena (841) dan Bandar Baharu (147).

Laman sesawang Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan lima sungai di Kedah berada pada paras bahaya iaitu Sungai Padang Terap di Kepala Batas, Sungai Bata di Kampung Bata di Kubang Pasu, Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR dan Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya, Kota Setar.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut turun padang meninjau tiga PPS yang menempatkan mangsa banjir di Alor Setar hari ini.

Di PERAK, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataan memaklumkan 27 mangsa banjir daripada lima keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak setakat 4 petang ini, berbanding 16 orang daripada tiga keluarga pagi tadi.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak memaklumkan Jalan Raya Timur Barat Kupang Gerik-Jeli, Hulu Perak kekal dibuka satu lorong akibat tanah runtuh, selain laluan FT147 Jalan Bagan Serai-Changkat Lobak di Kerian dibuka untuk kenderaan berat sahaja.

Di SELANGOR, Pegawai Daerah Kuala Selangor Mohd Raiz Radzuan memaklumkan PPS di Institut Pengurusan Peladang Tanjong Karang ditutup pada 12.38 tengah hari tadi. 

Pengerusi Bencana Daerah Kuala Selangor itu ketika dihubungi memaklumkan kesemua 101 mangsa daripada 36 keluarga telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing susulan banjir yang disebabkan fenomena air laut pasang besar telah surut sepenuhnya semalam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan