WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BELANJAWAN 2025: KPWKM CADANG PERUNTUKAN RM3 BILION - NANCY

21/09/2024 06:20 PM

LAWAS, 21 Sept (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah mencadangkan peruntukan kira-kira RM3 bilion bagi Belanjawan 2025, kata menterinya Datuk Seri Nancy Shukri. 

Beliau berkata jumlah itu mengambil kira 80 peratus daripada peruntukan KPWKM tahun ini melibatkan pengurusan elaun penerima bantuan yang tersenarai di bawah agensi kementerian berkenaan. 

“Kita perlu kaji betul-betul apa program yang berkesan untuk rakyat mendapat manfaatnya (pada 2025)… Jadi terpulanglah kepada Kementerian Kewangan untuk luluskan atau tidak.

“(Susulan maklum balas positif Kembara KASIH) Kita memang masukkan program ini dalam cadangan belanjawan supaya ia dapat diperluas di negeri-negeri lain selepas ini,” katanya.

Nancy berkata demikian ketika ditemui pemberita di Program Wanita Dinamik YKN sempena Kembara KASIH KPWKM 2024 di Arena Lawas, hari ini. 

Turut hadir Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Ketua Setiausaha KPWKM Datuk Dr Maziah Che Yusoff dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara Nordina Haron.

Pada 4 Sept lepas, Nancy dilaporkan berkata KPWKM mengemukakan cadangan berhubung bantuan kepada ibu tunggal untuk menuntut nafkah daripada bekas suami di mahkamah dalam Belanjawan 2025.

Dalam Belanjawan 2024, KPWKM diperuntukkan RM3.52 bilion merangkumi RM3.25 bilion perbelanjaan mengurus dan RM265 juta perbelanjaan pembangunan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka membentangkan Belanjawan 2025 iaitu belanjawan ketiga di bawah Kerajaan Perpaduan pada 18 Okt ini di Dewan Rakyat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan