WILAYAH - SARAWAK > BERITA

GISBH: RATUSAN GAMBAR 'ABUYA' DAN BUKU BERKAITAN AL-ARQAM DIRAMPAS DI MELAKA

21/09/2024 11:13 PM

MELAKA, 21 Sept (Bernama) -- Sebanyak 285 barangan berkaitan ajaran Al-Arqam, gerakan yang difatwakan haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1994, ditemukan dalam serbuan ke atas 19 premis berkenaan GISB Holdings Sdn Bhd (GSBH) di sekitar Melaka hari ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata antara barangan yang dirampas dalam Op Global bermula 5 pagi dan berakhir 5 petang itu ialah 12 keping gambar pengasas Al-Arqam Ashaari Muhammad yang turut dikenali sebagai Abuya

“Turut dirampas 138 buku berkaitan Al-Arqam yang diharamkan oleh Fatwa Melaka termasuk Aurad Muhammadiyah, jadual Zikir Aurad Muhammadiyah, diari catatan tentang ajaran Al-Arqam dan 33 unit cakera padat berkaitan ajaran Al-Arqam,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata selain itu turut disita tujuh telefon bimbit, sebuah komputer riba, dua set komputer, sebuah cakera keras luaran, sebuah peralatan WiFi dan 87 unit barang-barang lain termasuk serban Al-Arqam.

Seramai 19 kanak-kanak berjaya diselamatkan dalam operasi yang disertai 72 pegawai dan anggota pelbagai agensi kerajaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) itu.

Selain itu, 11 individu iaitu tiga lelaki dan lapan perempuan, berusia 18 hingga 45 tahun turut ditahan kerana disyaki masih mengamalkan ajaran Al-Arqam.

“Kesemua yang disyaki, ditahan untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut manakala kanak-kanak yang berumur 18 tahun ke bawah, dibawa ke rumah jagaan di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan