WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PAHANG PROMOSI SUKAN PELANCONGAN, TARIK MINAT PENGUNJUNG TEMPATAN DAN ANTARABANGSA

22/09/2024 06:21 PM

KUANTAN, 22 Sept (Bernama) -- Kerajaan Pahang sedang memperhebatkan promosi sukan pelancongan dalam usaha menarik minat pelancong domestik dan antarabangsa berkunjung ke negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri Leong Yu Man berkata antara inisiatif dilaksanakan pihaknya menerusi Tourism Pahang ialah mengukuhkan jaringan kerjasama dengan agensi luar yang terlibat bagi menjayakan pelbagai program. 

Beliau berkata kerjasama berkenaan dilihat dapat mempromosikan tempat menarik di Pahang dengan lebih meluas kepada pelancong tempatan dan luar negara misalnya dengan penganjuran Pahang International Ocean Paddling Festival 2024. 

"Usaha ini secara tidak langsung dapat memastikan industri pelancongan negeri sentiasa berkembang selain sebagai destinasi tarikan utama pelancongan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Pahang International Ocean Paddling Festival 2024 yang berlangsung tiga hari berakhir hari ini di Pantai Cherating di sini menyaksikan lapan negara iaitu Malaysia, Thailand, Afrika Selatan, Amerika Syarikat, Hong Kong, China, Indonesia dan Singapura menyertai perlumbaan kanu laut. 

Sementara itu, Leong berkata pihaknya juga melihat sukan kanu polo sebagai satu peluang besar untuk mempromosikan Pahang sebagai destinasi pelancongan sukan bertaraf antarabangsa. 

"Dengan memanfaatkan populariti sukan ini dalam kalangan negara Asia, Pahang berpotensi menjadi gelanggang utama yang menarik minat pelancong dan penggiat sukan kanu dari seluruh dunia," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan