WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BELIA SABAH DIGESA MANFAAT PELUANG PELANCONGAN LUAR BANDAR - JONISTON

22/09/2024 10:03 PM

KIULU, 22 Sept (Bernama) -- Golongan belia di Sabah digesa memanfaatkan peluang perniagaan dan pekerjaan dalam sektor pelancongan luar bandar yang kian berkembang di negeri ini, kata Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Joniston Bangkuai.

Mengambil contoh Kiulu yang terletak 40 kilometer ke utara Kota Kinabalu, beliau berkata terdapat kira-kira 400 peluang pekerjaan sepenuh masa dan sambilan ditawarkan susulan wujud lebih 80 perniagaan berkaitan pelancongan di kawasan itu. 

Ahli Dewan Undangan Negeri Kiulu itu berkata lokasi tersebut menjadi destinasi popular dalam kalangan pelancong dan pelajar antarabangsa terutama untuk kem musim panas, sekali gus beliau turut menggalakkan institusi pendidikan dan pelajar tempatan agar memilih Kiulu sebagai lokasi bagi aktiviti “team-building” dan bina semangat.

“Penglibatan aktif dalam sektor pelancongan akan menyumbang kepada kemakmuran jangka panjang kepada masyarakat luar bandar,” katanya dalam kenyataan selepas menutup Program Pengalaman Perkhidmatan Holistik di Riverbug Base Camp and The Adventure Centre di sini hari ini. 

Program anjuran North Borneo University College itu bertujuan mempersiapkan pelajar dengan kemahiran praktikal dan latihan kepimpinan dalam bidang hospitaliti dan turut hadir Naib Canselor North Borneo University College Prof Datuk Dr Azimuddin Bahari.

Sementara itu, Joniston menggesa pelajar menggunakan kemahiran yang mereka pelajari dalam bidang pengajian pelancongan dan hospitaliti dengan menceburi industri tersebut. 

“Manfaatkan sepenuhnya pengetahuan yang diperoleh dalam bidang pelancongan dan hospitaliti dengan meneroka peluang perniagaan sektor tersebut,” katanya yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan