WILAYAH - SELATAN > BERITA

TANAM PENDIDIKAN ISLAM PADA AWAL USIA, ELAK AKIDAH KANAK-KANAK TERSASAR - AHMAD ZAHID

22/09/2024 06:58 PM

KLUANG, 22 Sept (Bernama) -- Pembelajaran mengenai agama Islam harus ditanam pada awal usia supaya akidah kanak-kanak Muslim tidak lari daripada landasan sebenar, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata pendidikan Islam yang bertunjangkan al-Quran dapat membimbing kanak-kanak tentang cara hidup Islam yang lengkap dan tidak menyesatkan. 

"Soal agama bukan milik parti politik, dalam soal untuk mensyumulkan agama bukan milik individu dan dalam soal mengimarahkan agama bukan milik mana-mana organisasi, sebaliknya ia tanggungjawab pemimpin dan ummah keseluruhannya.

"Sebab itu kalau ilmu itu menyesatkan, ditunggang, apatah lagi agama itu dijadikan sebagai pacuan untuk mencapai cita-cita politik, Allah tak akan terima … dan kita mesti membetulkan situasi itu daripada terus berlaku," katanya. 

Ahmad Zahid berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pelancaran Program Pra Tahfiz Peringkat Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Negeri Johor Tahun 2024 di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid. 

Berhubung Pra Tahfiz, Ahmad Zahid berkata program itu yang dilaksanakan di Tabika Kemas menggunakan kaedah pembelajaran menyeronokkan yang "dipandu" Universiti Pendidikan Sultan Idris bagi memudahkan kanak-kanak mengingati ayat al-Quran dalam bacaan tepat dengan cepat.

Beliau juga mengalu-alukan kerajaan Johor untuk menerapkan kaedah sama di semua tadika di Johor dengan pihaknya bersedia untuk berkongsi modul pembelajaran berkenaan. 

Sementara itu, Kemas menerusi kenyataan memaklumkan lebih 62,175 kanak-kanak Tabika Kemas telah mengikuti program Pra Tahfiz di seluruh negara setakat ini.

Daripada jumlah itu, 7,758 kanak-kanak mengikuti program berkenaan di Johor melibatkan 552 kelas Tabika Kemas daripada 1,161 jumlah keseluruhan kelas Tabika Kemas di negeri ini. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan