WILAYAH - SARAWAK > BERITA

POLIS TAHAN LELAKI WARGA ASING LOMPAT ATAS KERETA, SEBABKAN KEMALANGAN

22/09/2024 10:13 PM

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki warga asing yang dipercayai sengaja meluru dan melompat ke atas beberapa kenderaan yang sedang bergerak sehingga mengakibatkan kemalangan di sekitar Bandar Sungai Long, Kajang pada Selasa lepas. 

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata suspek, yang juga pendatang tanpa izin, ditahan di sekitar kawasan sama pada 6 petang tadi. 

Beliau berkata tangkapan dilakukan selepas pihaknya mengesan satu video tular berdurasi 14 saat di laman Facebook milik “DashCam Malaysia” yang memaparkan insiden itu. 

"Kejadian dipercayai berlaku pada 17 Sept lepas pada 11.53 pagi. Suspek yang hanya mengalami kecederaan ringan meninggalkan tempat kejadian sebelum butiran atau pengenalan diri sempat diperoleh.

“Dua kenderaan mengalami kerosakan akibat perbuatan lelaki berusia 32 tahun yang bekerja sebagai pekerja pembersihan itu dan motif kejadian masih dalam siasatan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Naazron berkata setakat ini, tahap kesihatan mental suspek belum dapat ditentukan manakala ujian air kencing lelaki itu didapati negatif.

“Suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tiga bulan atau dengan denda RM500 atau kedua-duanya sekali.

“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri,” katanya.

Beliau berkata sebarang maklumat berkaitan insiden itu boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Mohamed Faeez Norzah di talian 013-266 3407 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan