WILAYAH - SABAH > BERITA

TIGA PELAJAR SEKOLAH MENENGAH TEMUI KULAT KARANG JARANG JUMPA DI SABAH

23/09/2024 09:07 PM

KOTA KINABALU, 23 Sept (Bernama) -- Tiga pelajar sekolah menengah membuat penemuan penting dalam kajian kulat apabila menemukan Phaeoclavulina cokeri iaitu sejenis kulat karang jarang jumpa di Bukit Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini.

UMS dalam kenyataan hari ini memaklumkan penemuan itu dibuat oleh Muhammad Aqil Fahmi Mahadimenakbar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebobon, Muhammad Daniel Ashraff Abdullah (SMK Likas) dan Cleasha Joiee Alfius dari Sekolah Menengah (SM) All Saint.

Mereka menemukan kulat itu ketika menyertai program Friends of BORNEENSIS (FOB 2024), inisiatif yang menekankan pembelajaran langsung tentang biodiversiti anjuran Institut Biologi dan Pemuliharaan Tropika (IBTP), UMS baru-baru ini.

“Rekod baharu Phaeoclavulina cokeri di Sabah ini amat penting kerana ia biasanya ditemukan di Amerika Utara, China, India dan beberapa negara di Asia Tenggara.

“Penemuan terakhir spesies ini yang direkodkan di rantau ini adalah lebih 60 tahun lepas. Penemuan itu mencetuskan keterujaan dalam kalangan penyelidik dan menyerlahkan potensi untuk penerokaan lanjut tentang kepelbagaian kulat di Sabah,” menurut kenyataan itu.

Phaeoclavulina cokeri, kulat karang yang terkenal dengan struktur bercabang unik seperti karang, pada asalnya diklasifikasikan di bawah genus Ramaria oleh ahli mikologi British EJH semasa pengajiannya pada 1960-an.

Menurut kenyataan itu, pada 1976, satu semakan taksonomi berdasarkan analisis genetik dan morfologi membawa kepada pengelasan semula kulit tersebut ke dalam genus Phaeoclavulina.

Selain Phaeoclavulina cokeri, beberapa pelajar dalam program sama iaitu Sean Ho Min Jun (SM Lok Yuk Kota Kinabalu), Eory Glory Dharius (SK Rungus) dan Isaac Sin Sang (SMK Likas) turut menjumpai satu lagi spesies jarang ditemukan, Marasmius elegans, yang dikenali sebagai kulat payung terjun baldu.

Mempunyai topi coklat kemerahan dan tangkai keputihan dengan bulu putih di pangkalnya, kulat ini biasanya ditemukan di hutan kayu putih di Australia.

Spesies ini pertama kali digambarkan sebagai Collybia elegans oleh ahli mikologi Australia John Burton Cleland pada 1933 sebelum dipindahkan ke genus Marasmius oleh Cheryl Grgurinovic pada 1997.

Pengarah IBTP Profesor Dr Fiffy Hanisdah Saikim dalam kenyataan sama memaklumkan penemuan itu bukan sahaja memperkayakan pengetahuan tentang kepelbagaian kulat di Sabah tetapi juga menekankan potensi belum diterokai yang wujud di hutan Malaysia.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan