WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AHLI GISBH TEGAR TIDAK MENGAKU ANAK UNTUK ELAK DIKENAKAN TINDAKAN

24/09/2024 12:28 AM

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Hampir dua minggu berlalu selepas kali pertama polis melakukan Op Global, namun hingga kini masih belum ada kelibat ibu bapa kepada 572 kanak-kanak dan remaja yang diselamatkan dari rumah amal dipercayai mempunyai kaitan dengan GISB Holding Sdn Bhd (GISBH), tampil menuntut anak mereka.

Mereka tegar berbuat demikian kerana dipercayai tidak mahu taktik menjadikan rumah amal yang diuar-uarkan sebagai rumah perlindungan anak-anak yatim bagi mendapatkan bantuan daripada orang ramai  terbongkar, sedangkan mereka sebenarnya adalah anak-anak ahli.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain yang mendedahkan perkara itu dalam sidang media hari ini berkata hal itu merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Paling menyedihkan ada juga ibu bapa kanak-kanak terlibat yang ditahan polis, tidak mengaku kanak-kanak yang diselamatkan itu anak mereka malah hasil soal siasat terhadap kanak-kanak terutama bawah 12 tahun juga mendapati ada yang tidak kenal siapa ibu bapa mereka.

Kesemua kanak-kanak terbabit kini ditempatkan di 11 rumah selamat oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan menerusi inisiatif oleh Kementerian Pendidikan (KPM), lebih 300 mangsa daripada mereka yang diselamatkan akan menjalani program pendidikan mulai 1 Okt ini.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata program pendidikan yang akan menggunakan modul khas itu melibatkan pelaksanaan fasa pertama selama dua bulan dan dilanjutkan ke fasa kedua bagi bulan berikutnya sekiranya terdapat keperluan.

Selain itu, siasatan polis terhadap GISBH yang memasuki fasa empat sejak Sabtu lepas mendapati ahli GISBH masih mengamalkan Tarekat Aurad Muhammadiyah iaitu amalan ahli kumpulan Al-Arqam yang difatwakan haram pada 1994 susulan penemuan risalah dan buku berkaitan di premis milik syarikat itu. 

Razarudin berkata buku dan risalah yang dirampas telah diserahkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk tindakan lanjut.

Berikutan itu juga siasatan polis terhadap organisasi tersebut kini menjurus kepada Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012 selain Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Dalam perkembangan sama, sebanyak 153 akaun berkaitan GISBH telah dibekukan membabitkan wang berjumlah RM882,795 dan 38 kenderaan pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM3.94 juta serta 14 lot hartanah yang nilainya masih dalam siasatan turut disita hasil Op Global setakat Sabtu lepas.

Tindakan pembekuan dilakukan di bawah Seksyen 44(1) AMLATFPUAA dan penyitaan di bawah Seksyen 45(2) akta sama.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar pula berkata keputusan berkaitan doktrin fahaman GISBH hanya akan diketahui selepas mendapat perkenan Majlis Raja-Raja yang akan bersidang pada Oktober ini. 

Mohd Na’im berkata sebelum keputusan itu diperkenankan, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) yang dipengerusikan Datuk Dr Nooh Gadot serta semua mufti negeri akan bermesyuarat bagi membincangkan mengenai GISBH bermula esok hingga 26 Sept.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan