WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SISTEM PERPARITAN TIDAK SISTEMATIK PUNCA BANJIR KILAT DI PENGKALAN RAMA TENGAH

23/09/2024 11:00 PM

MELAKA, 23 Sept (Bernama) -- Punca utama isu banjir kilat yang kerap berlaku di Pengkalan Rama Tengah di sini dikenal pasti disebabkan sistem perparitan yang tidak sistematik dan standard kesan  pembangunan tidak dirancang di sekitar kawasan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata selain itu, kerja-kerja penyelenggaraan longkang termasuk longkang monsun yang tidak berkala dan menyeluruh juga turut menyumbang kepada kejadian banjir kilat sejak lebih 20 tahun lepas.

Beliau berkata terdapat lebih 1.5 kilometer longkang di dalam kawasan Pengkalan Rama Tengah dan beberapa agensi sebelum ini ditugaskan menyelenggara kemudahan berkenaan, tetapi dilihat tidak dijalankan secara menyeluruh sehingga menyebabkan terdapat lumpur tebal melibatkan sebahagian longkang sekali gus menyukarkan pengaliran air.

"Kejadian banjir kilat di Pengkalan Rama Tengah telah lama berlanjutan dan berulang terutama apabila hujan lebat dalam tempoh lebih dua jam, dan lebih 40 rumah terjejas setiap kali situasi berkenaan berlaku.

"Kebanyakan penduduk di kawasan ini merupakan warga emas dan banjir kilat yang berlaku walaupun hanya satu hingga dua kaki, namun menyebabkan harta benda penduduk rosak dan pernah sebulan tiga kali banjir kilat berlaku di kawasan sama," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan pembersihan longkang di Pengkalan Rama Tengah yang turut melibatkan pelbagai agensi dan jabatan antaranya Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah.

Mohd Noor Helmy yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata pihaknya sedang mencari penyelesaian terbaik mengatasi isu berkenaan agar tidak berulang dan mengakui terdapat beberapa masalah dihadapi antaranya kekangan kewangan untuk menarik taraf longkang terlibat.

Beliau berkata selain itu, isu hak milik tanah dan kesukaran mengesan pemilik asal turut menyukarkan beberapa inisiatif dilaksanakan dalam usaha mengatasi kejadian banjir kilat.

"Bagaimanapun, antara cadangan atau inisiatif yang akan kita laksanakan ialah membina kolam tadahan di dalam kawasan berkenaan bagi mengatasi masalah banjir kilat," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk Lim Kian Yow, 56, berkata pada bulan lepas saja, tiga kali rumahnya dinaiki banjir sehingga menyebabkan hampir semua barangan elektrik terutama mesin basuh rosak.

Katanya, hujan lebat dalam tempoh lama juga sering membuatkan dirinya yang tinggal seorang diri sukar melelapkan mata kerana perlu bersiap sedia sekiranya rumah dinaiki air.

"Saya berharap ada penyelesaian bagi kejadian banjir kilat yang berlaku," katanya yang lebih 20 tahun menetap di kawasan itu.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan