WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JIWA ATLET "KENTAL" DALAM DIRI MUHAMMAD KAMAL

23/09/2024 11:30 PM

KUCHING, 23 Sept (Bernama) -- Jiwa seorang atlet sangat kuat dalam diri bekas perejam skuad sepak takraw negara Muhammad Kamal Ishak meskipun kini lumpuh separuh badan selepas terlibat dalam nahas jalan raya lima tahun lepas. 

Atlet berusia 31 tahun itu, yang sebelum ini beraksi bagi acara boccia hingga membutirkan pingat emas pada Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) edisi 2022 di Kuala Lumpur, kali ini memilih acara pingpong untuk mewakili Pulau Pinang.  

Muhammad Kamal yang juga seorang guru di Bukit Mertajam berkata jiwa atlet tidak dapat dipisahkan daripada dirinya walaupun tidak lagi mampu beraksi sebagai perejam negara selepas detik hitam yang menimpa.

Pada 2019, dia terlibat dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Bandar Tasek Selatan, Kuala Lumpur, menyebabkan lumpuh separuh badan. 

"Sukan sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya. Saya membesar dengan sukan dan belajar di Sekolah Menengah Mutiara Impian (sebuah sekolah sukan), jadi sukan memang banyak mengajar saya tentang kehidupan.  

"Dengan bersukan hidup saya ada arah tuju, ada sasaran...jadi saya akan terus berada di landasan yang tepat," katanya kepada Bernama selepas menamatkan aksinya dalam acara pinpong di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) China Chung Hua No. 3 di sini hari ini. 

Muhammad Kamal berkata tindakannya bertukar acara daripada boccia ke pingpong kerana kategori  BC5 tidak dipertandingkan di Para SUKMA kali ini.

Selain meneruskan karier sebagai atlet, dia turut menjalankan tugas sebagai guru sejak tahun lepas selepas menerima Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Jasmani dari Universiti Putra Malaysia (UPM). 

Terdahulu, Muhammad Kamal gagal melangkah ke suku akhir acara pingpong perseorangan kerusi roda lelaki selepas kalah kepada kedua-dua pencabarnya dalam Kumpulan C, iaitu Nur Izhar Idham dari Kuala Lumpur 7-11, 11-7, 5-11,7-11 dan Mohammad Sobri Aripin dari Terengganu 10-12, 12-10, 10-12, 11-13. 

Walaupun tewas, Muhammad Kamal berkata dia tidak akan berputus asa sebaliknya akan terus mengasah kemahirannya dalam sukan itu.

"Saya ambil jurulatih persendirian untuk berlatih pingpong. Walaupun hari ini kalah, saya tak putus asa dan akan pastikan nama saya disebut orang selepas ini," katanya. 

Muhammad Kamal mula mewakili negara ketika di tingkatan lima dengan menyertai kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN sebelum dipilih ke temasya Sukan Universiti ASEAN pada 2015.

Dia juga pernah menyertai skuad senior kebangsaan dalam kejohanan Piala Raja Thai di Bangkok, Thailand pada 2016, Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur dan Sukan Asia di Indonesia 2018, selain menang emas di Piala Raja Thailand 2018 dalam acara quadrant.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan