AM

PEKARANGAN MASJID DIGENANGI AIR, 300 JEMAAH TETAP HADIR SOLAT JUMAAT

20/09/2024 05:44 PM

ALOR SETAR, 20 Sept (Bernama) -- Walaupun pekarangan Masjid Tuan Husain, Titi Gajah di sini digenangi air sedalam 0.5 meter, kira-kira 300 jemaah dari kawasan sekitar tetap hadir menunaikan solat Jumaat hari ini.

Bagi jemaah kurang upaya dan warga emas, pihak masjid mengambil inisiatif menyediakan kotak tangki bersaiz 8x6 kaki persegi untuk memudahkan mereka mengharungi air banjir dan mengelakkan daripada basah.

Imam masjid Mohd Adib Omar, 63, berkata idea itu timbul setelah melihat penduduk berhampiran menggunakan kaedah tersebut untuk mengharungi banjir dan berulang-alik ke rumah mereka yang ditenggelami air.

“Walaupun kawasan pekarangan masjid ini digenangi banjir sedalam kira-kira 0.5 meter, namun ruang solat utamanya tidak terjejas kerana kedudukannya yang tinggi.

“Disebabkan itu, kami memutuskan untuk terus berjemaah di masjid pada setiap waktu dan solat Jumaat pada hari ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, seorang jemaah, Mohamad Fauzi Rejab, 67, memuji usaha dilaksanakan pihak masjid yang memudahkan jemaah menunaikan ibadah.

"Saya fikir ini merupakan satu tindakan yang amat prihatin daripada pihak masjid. Setidak-tidaknya kami dapat melaksanakan ibadah dengan selesa tanpa basah," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan