AM

PASCABANJIR KEDAH : KERAJAAN UMUM PERUNTUKAN RM13 JUTA - PM ANWAR

21/09/2024 02:26 PM

ALOR SETAR, 21 Sept (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan mengumumkan peruntukan RM13 juta untuk bantuan pascabanjir di Kedah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata peruntukan tersebut adalah untuk sumbangan, pembersihan, serta baik pulih infrastruktur yang rosak akibat bencana banjir.

Anwar berkata bagi daerah Kota Setar sahaja diperuntukkan sejumlah RM3 juta, manakala bagi keseluruhan negeri Kedah diperuntukkan RM10 juta bagi memastikan semua kerosakan dan ganti rugi yang munasabah selepas banjir, dapat ditangani.

“Saya minta Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, selaraskan perkara ini supaya disegerakan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata kerajaan telah menyalurkan sumbangan sebanyak RM1,000 menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan RM1,000 lagi melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir di Kedah.

“Bantuan terus untuk mangsa banjir kita sudah mula disampaikan dan saya dengar Menteri Besar (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) sebut daripada kerajaan negeri pun ada bantuan.

“Tapi yang pentingnya ialah jika ada kerosakan, kerugian binatang ternakan, hasil tanaman yang kita harus teliti dan kita harus cuba ringankan beban yang ditanggung oleh mangsa banjir ini,” katanya.

Perdana Menteri turut mengarahkan agar projek tebatan banjir yang sedang dijalankan di Kedah dipantau dengan teliti, supaya tidak berlaku sebarang kelewatan untuk mengurangkan impak banjir apabila projek tersebut siap nanti.

Sementara itu, Anwar menyatakan beliau berpuas hati dengan pengurusan banjir di Kedah dan merakamkan penghargaan kepada semua jentera agensi serta jabatan kerajaan, baik di peringkat Persekutuan mahupun negeri, yang telah melaksanakan tanggungjawab masing-masing dalam menangani bencana tersebut.

“Saya puas hati, Alhamdulillah kerana Kedah dah biasa dengan pengalaman banjir dan saya harap mereka (mangsa banjir) sabar, makanan (di PPS) secara umumnya disediakan dengan baik, empat kali sehari, jadi untuk sementara keadaan terkawal,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri turut melawat PPS di Stadium Sultan Abdul Halim dan meluangkan masa kira-kira setengah jam di situ, sebelum meneruskan lawatan ke SMKA Kedah, dan mengakhiri lawatan di PPS Sekolah Kebangsaan Titi Gajah.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan