AM > BERITA

PROGRAM MADANI RAKYAT ZON TIMUR BAWA KEISTIMEWAAN PRODUK USAHAWAN DESA

02/07/2024 02:13 PM

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Keistimewaan produk yang dihasilkan oleh usahawan desa menjadi antara tarikan utama Program MADANI Rakyat 2024 Zon Timur yang akan diadakan di Dataran Sayangi Kuantan, Pahang pada 5 hingga 7 Julai ini.

Setiausaha Bahagian Pembangunan Usahawan Desa, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Zaflin Pakwanteh berkata KKDW selaku kementerian peneraju bagi siri Program MADANI Rakyat kali ini, akan mengetengahkan tema berkisarkan pembangunan usahawan-usahawan desa. 

“Pada kali ini, kita bawa paling ramai usahawan desa kerana kita ingin memberikan platform, ruang dan peluang supaya mereka boleh memasarkan, menjual dan memperkenalkan produk masing-masing kepada warga Zon Timur.

“Insya-Allah, kita mahu pengunjung datang supaya dapat tengok (produk-produk) usahawan, berbelanja, sekali gus dapat membantu usahawan-usahawan ini,” katanya ketika menjadi tetamu bagi program Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM hari ini.

Selain itu, beliau berkata kementerian berkenaan juga akan membawa tema bagi mempromosikan produk-produk dan aktiviti pelancongan luar bandar.

Mengambil contoh Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) yang turut terlibat dalam siri program kali ini, Zaflin berkata pengunjung akan berpeluang melihat secara langsung pertandingan gasing, rebana ubi dan aktiviti sepak takraw yang disediakan.

“Kita juga ada agensi-agensi di Terengganu yang kini sedang mempromosikan Tasik Kenyir. Senang cerita, kita bawakan Tasik Kenyir itu kepada pengunjung supaya mereka boleh mengenali produk-produk menarik di tasik itu seperti Taman Herba yang cukup terkenal di sana.

“Selain itu, kita bawakan juga kampung Orang Asli, ada tiga rumah Orang Asli yang kita ketengahkan iaitu daripada suku kaum Semaq Beri, Semai dan Batek. Pengunjung boleh tengok, rasai pengalaman macam mana tradisionalnya produk-produk yang ada, termasuk aktiviti di kampung Orang Asli,” katanya.

Beliau berkata program yang sering menjadi tumpuan dalam siri Program MADANI Rakyat sebelum ini juga akan disediakan seperti kaunter tawaran pengurangan 50 peratus bayaran saman trafik, pertukaran 3,000 topi keledar motosikal, Jualan MADANI, pameran aset agensi-agensi berkaitan, karnival kerjaya dan reruai kesihatan.

Program MADANI Rakyat 2024 Zon Timur dijadual dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 6 Julai.

Selain usaha kerajaan menyediakan perkhidmatan terus kepada rakyat, program berkenaan dapat mewujudkan saluran komunikasi berterusan antara masyarakat dengan kerajaan, sekali gus memperkukuh hubungan dalam usaha membina negara yang lebih sejahtera selaras agenda Malaysia MADANI.

Maklumat lanjut berkaitan program, layari portal https://malaysiamadani.gov.my.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan