DUNIA > BERITA

FILIPINA: KES PERTAMA DEMAM Q BABITKAN KAMBING DIIMPORT DARI AS

22/06/2024 12:27 PM

MANILA, 22 Jun (Bernama-PNA) -- Jabatan Pertanian-Biro Perindustrian Haiwan (DA-BAI) Filipina pada Jumaat mengesahkan kes pertama demam Q di negara itu membabitkan kambing yang diimport dari Amerika Syarikat (AS), lapor Agensi Berita Filipina (PNA).

Demam Q merupakan penyakit zoonotik yang disebabkan bakteria Coxiella burnetii, boleh menular kepada manusia melalui sentuhan dengan haiwan yang dijangkiti atau najisnya.

Dalam satu sidang media, Pegawai Perkhidmatan Kuarantin Veterinar Nasional BAI, Dr Christian Daquigan berkata 19 sampel dari kambing yang diimport diuji positif demam Q selepas beberapa siri ujian.

Beliau berkata semua kambing yang dijangkiti telah "dihapuskan di ladang terpencil" di Pampanga dan Marinduque untuk memastikan keselamatan haiwan dan manusia.

Malah kambing yang belum diuji juga telah dikurangkan untuk menghapuskan sebarang kemungkinan sumber jangkitan demam Q, katanya.

Setakat ini, sebanyak 94 kambing yang diimport terjejas, lapor PNA.

“BAI mengambil langkah tegas untuk mengawal penyakit ini dan mencegah penularan lanjut,” kata Daquigan.

-- BERNAMA-PNA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan