DUNIA > BERITA

JULIAN ASSANGE DIBEBASKAN DARI PENJARA UK, PULANG KE TANAH AIR

25/06/2024 11:14 AM

MOSCOW, 25 Jun (Bernama-Sputnik) -- Pengasas WikiLeaks Julian Assange telah dibebaskan dari penjara di United Kingdom dan terbang ke Australia, lapor Sputnik.

Terdahulu, dokumen mahkamah mendedahkan Assange dijangka mengaku bersalah atas tuduhan melakukan pengintipan ke atas Amerika Syarikat (AS) sebagai sebahagian daripada perjanjian rayuan dengan pendakwa raya persekutuan.

"Julian Assange bebas. Beliau meninggalkan penjara keselamatan maksimum Belmarsh pada pagi 24 Jun, selepas menghabiskan 1,901 hari di sana. Beliau telah dibenarkan ikat jamin oleh Mahkamah Tinggi di London dan dibebaskan di Lapangan Terbang Stansted pada sebelah petang, apabila beliau menaiki pesawat dan berlepas dari UK," menurut WikiLeaks dalam hantaran di platform X.

Kenyataan itu mengesahkan laporan bahawa Assange mempunyai perjanjian dengan Jabatan Kehakiman AS, yang masih belum dimuktamadkan secara rasmi.

Assange, warga Australia, dipindahkan ke penjara keselamatan maksimum Belmarsh di London pada April 2019 atas tuduhan melanggar jaminan. Di AS, beliau menghadapi pendakwaan di bawah Akta Pengintipan kerana mendapatkan dan mendedahkan maklumat sulit yang mendedahkan jenayah perang dan pelanggaran hak asasi manusia oleh tentera AS di Iraq dan Afghanistan.

-- BERNAMA-SPUTNIK


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan