DUNIA > BERITA

KOMURA LAWAT MALAYSIA UNTUK KUKUHKAN HUBUNGAN BILATERAL JEPUN-MALAYSIA

23/09/2024 10:15 PM

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Masahiro Komura, Parliamentary Vice-Minister for Foreign Affairs Jepun mengakhiri lawatan kerja selama dua hari ke Malaysia pada Isnin, yang bertujuan untuk memperkukuh hubungan diplomatik dan ekonomi antara kedua-dua negara.

Semasa lawatannya dari 22 hingga 23 Sept, Komura  mengadakan mesyuarat dua hala dengan Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin, dan kedua-dua pihak menegaskan komitmen mereka untuk meningkatkan Perkongsian Strategik Komprehensif antara Malaysia dan Jepun.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar berkata  pertemuan itu menyaksikan kedua-dua pemimpin membincangkan kerjasama dalam sektor utama, termasuk perdagangan, pelaburan, pertahanan, pelancongan, pendidikan tinggi, dan tenaga hijau.

“Mereka juga bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa, termasuk hubungan ASEAN-Jepun dan konflik di Gaza,” kata kenyataan itu.

Kementerian yang juga dikenali sebagai Wisma Putra itu berkata antara program lawatannya, Komura melawat kampus cawangan Universiti Tsukuba Jepun yang baru ditubuhkan di Malaysia.

“Untuk pengambilan pertama, sejumlah 13 pelajar telah memohon untuk melanjutkan pengajian dalam Program Sarjana Muda Seni dan Sains di bawah ‘School of Transdisciplinary Science and Design’ ,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menekankan bahawa Jepun telah menjadi rakan dagang keempat terbesar Malaysia selama sembilan tahun berturut-turut, dengan jumlah dagangan antara kedua-dua negara bernilai RM156.64 bilion (US$34.39 bilion) pada tahun 2023.

“Sehingga tahun 2023, sejumlah 2,810 projek oleh syarikat Jepun telah dilaksanakan di Malaysia, dengan pelaburan berjumlah RM102.11 bilion (US$29.67 bilion), yang mencipta 344,120 peluang pekerjaan,” kata kenyataan itu.

Lawatan Komura adalah sebahagian daripada lawatan beliau ke Asia Tenggara dan menandakan lawatan rasmi pertamanya ke Malaysia sejak pelantikannya pada September 2023.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan