EKONOMI > BERITA

RHB IB NAIKKAN UNJURAN JUMLAH JUALAN KESELURUHAN INDUSTRI SEBANYAK 18 PERATUS BAGI 2024

24/06/2024 04:26 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- RHB Investment Bank Bhd (RHB IB) menyemak semula unjuran jumlah jualan keseluruhan industri (TIV) kenderaan bermotor bagi 2024 dengan menaikkannya sebanyak 18 peratus kepada 740,000 unit daripada anggaran sebelumnya sebanyak 625,000 unit.

Firma penyelidikan itu berkata semakan semula itu didorong oleh prestasi TIV yang lebih kukuh daripada jangkaan setakat ini, didorong oleh jualan Perodua yang menggalakkan.

“Kami telah menyemak semula anggaran jualan Perodua 2024 kami kepada 330,000 unit daripada 250,000 unit.

“Unjuran TIV kami yang disemak untuk 2024 sejajar dengan anggaran Persatuan Automotif Malaysia (MAA),” kata RHB IB dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Terdahulu MAA mengunjurkan jualan kenderaan bermotor baharu menyusut sebanyak 7.5 peratus tahun ini berikutan jualan tertinggi sebanyak 799,731 unit pada 2023.

Pada Mei 2024, TIV mencecah 68,665 unit, menandakan peningkatan 8.7 peratus tahun ke tahun dan peningkatan 18.4 peratus bulan ke bulan, menjadikan jumlah keseluruhan bagi tempoh lima bulan pertama 2024 sebanyak 328,901 unit, meningkat 8 peratus tahun demi tahun.

"Prestasi yang lebih kukuh dijangkakan berikutan asas rendah pada April berikutan perayaan Aidilfitri," katanya.

Jumlah jualan daripada jenama utama meningkat dengan Perodua dan Toyota/Lexus mencatatkan pertumbuhan bulan ke bulan masing-masing sebanyak 34.7 peratus dan 5.2 peratus, manakala Proton dan Honda susut masing-masing sebanyak 8 peratus dan 2.5 peratus.

Setakat ini bagi tahun ini, jualan Perodua meningkat sebanyak 19.6 peratus tahun ke tahun, mengembangkan bahagian TIV pengeluar kereta nasional itu kepada 63 peratus, meningkat daripada 60 peratus pada 2023.

Bagaimanapun, RHB IB menjangkakan sektor tersebut mencatatkan pertumbuhan pendapatan negatif tahun ini, sejajar dengan kemerosotan kitarannya.

"Terdapat kekurangan pemandu untuk menyokong TIV pada tahap semasa, jadi prestasi yang lebih lemah dijangka pada separuh kedua tahun ini," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan