KPDN JOHOR RAMPAS 28 TONG GAS LPG DARI KEDAI DOBI

21/06/2024 09:29 AM

JOHOR BAHRU, 21 Jun (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor merampas 28 tong gas petroleum cecair (LPG) dari sebuah premis dobi di Taman Ekoperniagaan di sini Selasa lepas kerana disyaki menyimpan barang kawalan berjadual tanpa permit.

Pengarah KPDN Johor Lilis Saslinda Pornomo berkata rampasan berkenaan dilakukan pihaknya melalui satu operasi yang dilakukan pada 12 tengah hari setelah menerima aduan daripada orang ramai.

Beliau berkata setelah siasatan dilakukan, premis terbabit gagal mengemukakan permit menyimpan barang kawalan berjadual LPG apabila diminta oleh anggota penguat kuasa KPDN.

“Satu tindakan kes telah dikenakan ke atas premis tersebut kerana disyaki melakukan kesalahan memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual LPG tanpa kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa. 

“Sebanyak 28 tong gas LPG dan beberapa dokumen perniagaan turut disita bagi membantu siasatan. Siasatan lanjut juga akan dilakukan ke atas syarikat pemborong barang kawalan LPG kerana kesalahan menjual barang kawalan kepada orang yang tidak mempunyai permit barang kawalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 yang jika sabit kesalahan boleh didenda hingga RM1 juta atau penjara 3 tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama, manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya denda tidak melebihi RM 3 juta atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua–duanya sekali. 

 Lilis Saslinda berkata bagi pertubuhan atau perbadanan denda tidak melebihi RM 2 juta bagi kesalahan pertama dan RM 5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan