BEKAS PENGARAH SYARIKAT DIDAKWA PALSU DOKUMEN UNTUK PERKESO

21/06/2024 03:53 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Seorang bekas pengarah syarikat membaiki barang elektrik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memalsukan dokumen kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berhubung permohonan program subsidi upah berjumlah lebih RM80,000, empat tahun lepas.

Muhammad Asyraf Rizal, 26, didakwa menggunakan borang permohonan program subsidi upah atas nama Syarikat Maar Engineering Services bertarikh 16 Jun 2020 berjumlah RM88,200 yang mana tertuduh tahu bahawa dokumen tersebut adalah palsu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Bahagian Insurans Pekerjaan, Perkeso, Putrajaya pada 16 Jun 2020 mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rais Adha Ramli menawarkan jaminan RM80,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu hadir di Pejabat SPRM di Johor Bahru sebulan sekali sehingga kes selesai.

Peguam Siti Nabila Hamzah yang mewakili Muhammad Asyraf memohon jaminan itu dikurangkan atas alasan tertuduh yang kini bekerja di Singapura sebagai juruteknik merupakan penanggung tunggal keluarga dan membiayai kos perubatan datuk dan neneknya yang menghidap kanser paru-paru tahap empat. 

Hakim Azrul Darus membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 2 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan