BEKAS PEGUAM BEBAS TUDUHAN PECAH AMANAH

25/06/2024 04:42 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Mahkamah Sesyen hari ini melepas dan membebaskan seorang bekas peguam daripada tiga pertuduhan pecah amanah wang berjumlah RM627,800, membabitkan urusan pembelian rumah milik pelanggannya warga Sri Lanka, sejak 2015 sehingga 2016.

Hakim Azrul Darus memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Ling Lae Feei, 57, di akhir kes pembelaan.

“Setelah mahkamah mendengar keterangan daripada saksi-saksi serta meneliti dokumen-dokumen kes ini, mahkamah memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah ke atas tertuduh.

“Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada ketiga-tiga pertuduhan,” katanya.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, Ling didakwa sebagai seorang peguam di sebuah syarikat guaman (ketika itu) telah melakukan pecah amanah wang berkenaan milik Mrinalini Ponnambalam, di sebuah unit pejabat di Bandar Tun Razak, Cheras antara 5 Nov 2015 hingga 28 Jun 2016.

Ling didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amir Hannif manakala peguam Engku Aminuddin Engku Ibrahim mewakili tertuduh.

Seramai empat saksi pembelaan termasuk tertuduh memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula pada 18 Mac.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan