MAHKAMAH KETEPI RAYUAN PENGGULUNGAN SELEPAS SERBA DINAMIK, TIGA ANAK SYARIKAT TARIK BALIK RAYUAN

25/06/2024 05:57 PM

PUTRAJAYA, 25 Jun (Bernama) -- Serba Dinamik Holdings Berhad (SDHB) dan tiga anak syarikatnya hari ini menarik balik rayuan mereka di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan petisyen difailkan oleh enam institusi kewangan bagi menggulung syarikat berkenaan.

Susulan itu panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Datuk P. Ravinthran mengetepikan rayuan itu.

Panel yang dianggotai Ravinthran, Hakim Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, mengarahkan Serba Dinamik untuk membayar kos berjumlah RM200,000.

Terdahulu peguam Sandra Tan yang mewakili Serba Dinamik dan anak syarikat berkenaan yakni Serba Dinamik International Ltd, Serba Dinamik Sdn Bhd dan Serba Dinamik Group Bhd, memberitahu mahkamah bahawa beliau mendapat arahan daripada pelanggannya untuk menarik balik rayuan itu.

Pada 10 Jan tahun lepas Mahkamah Tinggi membenarkan satu petisyen yang difailkan enam institusi kewangan yang terdiri daripada Standard Chartered Saadiq Berhad, HSBC Amanah Malaysia Berhad, AmBank Islamic Berhad, MIDF Amanah Investment Bank Berhad, United Overseas Bank (Malaysia) Bhd, dan Bank Islam Malaysia Berhad bagi menggulung SDHB dan subsidiarinya itu berhubung hutang hampir RM5 bilion.

HSBC Bank Malaysia dan Hong Leong Islamic Bank Bhd menyokong petisyen penggulungan itu.

Dalam prosiding mahkamah hari ini peguam Koo Yin Soon mewakili enam institusi berkenaan manakala peguam Niisha Lakshme mewakili HSBC Amanah serta HSBC Bank, dan peguam Karen Tan mewakili Hong Leong Islamic Bank memohon mahkamah memberikan mereka kos susulan penarikan rayuan itu.

Mereka berkata pihak mereka telah bersedia untuk membuat rayuan yang akan melibatkan dokumen yang bertimbun.

Pada 16 Mac tahun lepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan SDHB dan tiga anak syarikatnya untuk menggantung secara kekal perintah penggulungan terhadap mereka sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Awal bulan ini Serba Dinamik dilapoirkan telah dinyahsenarai oleh Bursa Malaysia daripada sahamnya selepas Bursa menolak rayuan terakhir syarikat itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan