MAQIS GAGALKAN CUBAAN SELUDUP 16 KILOGRAM IKAN HIDUP KE SINGAPURA

02/07/2024 01:57 PM

ISKANDAR PUTERI, 2 Julai (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor menggagalkan cubaan seludup satu tong ikan hidup dengan jumlah berat kira-kira 16 kilogram (kg) ke Singapura, semalam.

Pengarah MAQIS Johor Edie Putra Md Yusof berkata rampasan bahan tanpa permit eksport sah bernilai RM745 itu dibuat di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah di sini pada 3.45 pagi, susulan pemeriksaan terhadap sebuah lori. 

Beliau berkata hasil pemeriksaan menemukan 4 kg ikan jenahak, selain masing-masing 6 kg ikan merah dan ikan kerapu yang diletakkan bercampur di dalam sebuah tong, sebelum disorokkan di antara tong-tong lain yang berisi ikan sejuk beku.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati ikan hidup terbabit cuba dibawa keluar tanpa sebarang pengikraran yang betul dan telah ditahan untuk tindakan lanjut. 

"Perbuatan mengeksport apa-apa jenis keluaran pertanian tanpa permit eksport MAQIS menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11 (2) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11 (3) akta sama," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Bagaimanapun, Edie Putra berkata pemandu dan kelindan berusia 24 serta 22 tahun itu dilepaskan setelah diambil keterangan dan siasatan lanjut sedang dijalankan. 

Menurut beliau, pihaknya sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian yang keluar dari dalam negara dan mematuhi syarat serta peraturan ditetapkan kerajaan. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan