EDAR DADAH: ISTERI DIBEBAS DAN DILEPAS, SUAMI DIARAH BELA DIRI

02/07/2024 06:23 PM


From Mohamad Harith Mohamad Nizar

IPOH, 2 Julai (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengarahkan seorang ahli perniagaan untuk membela diri manakala membebas dan melepaskan isteri lelaki itu atas pertuduhan mengedar dadah, lima tahun lepas.

Mohinder Singh a/l Gurdial Singh, 50, dan isterinya T K G. Peramla, 54, didakwa mengedar 524.1 gram (g) dadah berbahaya (38.7g heroin dan 484.5g monoacetylmorphines) di tempat letak kereta di sebuah rumah di Bandar Baru Sri Klebang di sini, kira-kira 6.25 petang, 22 Nov 2019.

Pendakwaan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati atau pemenjaraan seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed dalam penghakimannya berkata beliau membuat keputusan itu, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Mohinder, manakala tidak berjaya bagi kes membabitkan Peramla.

“Dapatan saya, OKT 1 (orang kena tuduh) (Mohinder) mempunyai pengetahuan...Dalam erti kata lain pihak pendakwaan telah berjaya buktikan bahawa OKT 1 mempunyai milikan fizikal ke atas dadah tersebut,” katanya.

Mohinder turut didakwa dengan empat lagi pertuduhan lain dengan satu daripadanya membabitkan pengedaran dadah seberat 1,322.9g (243.4g heroin dan 1,079.5g monoacetylmorphines), di tempat, masa dan tarikh yang sama, serta kesalahan di bawah seksyen yang sama.

Tiga pertuduhan lain membabitkan pengedaran racun iaitu 60.55 kilogram (kg) bahan serbuk yang mengandungi kafein, 93 mililiter cecair yang mengandungi kafein dan 10.74kg bahan serbuk yang mengandungi chloroquine, dengan kesemua kesalahan itu dilakukan di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Bagi tiga pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 9(1) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 32(2) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Saiful Akmal Mod Said dan Liyana Zawani Mohd Radzi, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, Effa Azuin Aidrul Hisham dan Hartrisha Kaur Sandhu.

Seramai 15 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan kes.

Sementara itu, Wan Azwan Aiman memaklumkan kepada mahkamah bahawa Mohinder akan memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 28 dan 29 Ogos untuk perbicaraan oleh pihak pembelaan, dengan empat saksi akan dipanggil termasuk pemilik rumah terbabit.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan