AM

MUZIUM TANAH, LANGKAH PENTING KE ARAH MEMPERKUKUH KETERJAMINAN MAKANAN NEGARA - SAINTIS TANAH

01/07/2024 08:39 PM

Oleh Previnna Thuraisingam

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Sudah tiba masanya muzium tanah diwujudkan di Malaysia untuk pelajar dan orang awam mempelajari lebih lanjut mengenai kepentingan tanah, lebih daripada sekadar tekstur dan bau, kata ahli sains tanah Prof Ahmad Ebon.

Bekas Ketua Jabatan Sains Tanah dan pensyarah di Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata penubuhan muzium tanah di negara ini juga satu langkah penting ke arah memperkukuh keterjaminan makanan negara.

"Tanah sangat penting untuk kehidupan dan pertanian, namun sering dilupakan dalam kepesatan pembangunan. Ini boleh memberi impak kepada pengeluaran hasil pertanian.

"Sangat penting untuk memahami kesuburan tanah supaya kita boleh memeliharanya dan menuai hasil produk pertanian yang berkualiti serta mencukupi jumlahnya," katanya kepada Bernama dalam satu sidang media eksklusif di sini pada Ahad.

Turut bersama beliau ialah penasihat projek muzium tanah Datuk Seri Diraja Syed Razlan Ibni Syed Putra Jamalullail dan empat anggota jawatankuasa iaitu Dekan Fakulti Pertanian UPM Prof Dr Loh Teck Chwen, bekas dekan Prof Dr Khanif Yusop, bekas profesor pertanian Prof Dr Shamshuddin Jusop dan Ketua Jabatan Pengurusan Tanah UPM Prof Madya Dr Christopher Teh Boon Sung.

Ahmad berkata muzium tanah berkenaan, yang dicadangkan dibina di UPM, berkeluasan 1,500 meter persegi dan dijadualkan siap menjelang akhir 2025 dengan dana diperlukan sebanyak RM30 juta.

Beliau berkata terdapat 400 jenis tanah berbeza dari seluruh negara dan 100 monolit tanah iaitu kepingan tanah vertikal, akan dipamerkan di muzium itu pada peringkat awal.

"Kami akan menghasilkan monolit tanah semua siri tanah yang dijumpai di seluruh Malaysia dari Perlis ke Johor dan dari Sarawak ke Sabah," katanya.

Sementara itu, Teh menekankan bahawa saintis tanah telah melaksanakan inisiatif siginifkan untuk membina muzium tanah yang pertama di Malaysia bagi memudahkan kerjasama kajian antara penyelidik tempatan dan antarabangsa, melatih pelajar tentang bagaimana hendak menjadi pakar tanah selain membolehkan mereka memahami subjek tersebut dengan lebih baik.

"Terdapat anggaran 40 muzium tanah di serata dunia, kebanyakannya dibiayai kerajaan. Muzium tanah terbesar ialah di Rusia, diikuti satu lagi muzium yang terkemuka di Netherlands yang menampilkan tanah dari seluruh dunia, termasuk Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, Loh berkata UPM ialah lokasi yang ideal bagi muzium berkenaan memandangkan universiti itu mudah dikunjungi pelajar dan orang ramai.

"Kami ingin membina muzium ini di UPM memandangkan UPM merupakan pusat akademik bagi pertanian dan selaras dengan pelan tindakan keterjaminan makanan yang baru-baru ini dilancarkan oleh Naib Canselor Datuk Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah, yang turut menyebut keterjaminan makanan ialah sebahagian perkhidmatan utama UPM.

"Apabila membincangkan tentang keterjaminan makanan, kita biasanya terlupa mengenai tanah dan kesuburannya. Membina muzium ini penting bagi memastikan pengeluaran pertanian kita akan bertambah baik," katanya dan berharap kerajaan akan menyokong inisiatif mereka, yang menjanjikan impak positif untuk masyarakat.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan