POLITIK > BERITA

POLIS TUBUH PASUKAN KHAS PANTAU ISU 3R SEPANJANG PRK SUNGAI BAKAP

21/06/2024 03:11 PM

NIBONG TEBAL, 21 Jun (Bernama) -- Polis Pulau Pinang telah menubuhkan satu pasukan khas yang ditugaskan memantau isu 3R (kaum, agama dan raja) sepanjang tempoh berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata pasukan itu akan mengambil tindakan tegas mengikut lunas undang-undang sekiranya ada pihak yang didapati menyentuh isu berkaitan 3R semasa berkempen nanti.

“Parti-parti politik yang bertanding diingatkan supaya tidak memainkan isu 3R kerana ia boleh mendatangkan ketidakharmonian dan ketidaktenteraman dalam kalangan masyarakat,” katanya pada sidang media persediaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghadapi PRK DUN Sungai Bakap di sini hari ini.

Beliau berkata parti-parti politik juga disarankan memohon permit lebih awal untuk mendapatkan kelulusan daripada pihak polis bagi tujuan mengadakan ceramah-ceramah kempen, sama ada bergerak atau setempat, selain memastikan tidak berlaku pertembungan antara parti politik semasa berkempen.

Hamzah berkata setakat ini polis menerima satu permohonan permit daripada parti politik dan pihaknya menjangkakan lebih banyak permohonan permit dari parti-parti politik akan tampil bermula selepas penamaan calon esok.

“Semalam Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Choong Boo Khim telah menyampaikan taklimat kepada wakil-wakil calon yang akan bertanding berhubung prosedur dan isu-isu keselamatan termasuk yang berkaitan permit, dan juga kawasan yang ditetapkan untuk penyokong berada sepanjang proses penamaan calon di Dewan Serbaguna Jawi esok,” katanya.

Beliau berkata berkata pihaknya telah membahagikan penugasan kepada dua skop besar dengan skop pertama melibatkan penugasan yang dimohon oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), manakala skop kedua memastikan keselamatan masyarakat Sungai Bakap sentiasa terjamin bermula dari tempoh penamaan calon sehingga keputusan PRK diumumkan.

Hamzah berkata 600 pegawai dan anggota polis akan bertugas pada hari penamaan calon esok serta 12 pasukan cantas atau pemantau ditugaskan sepanjang tempoh PRK itu bagi memastikan tiada insiden tidak diingini berlaku dan PRK berlangsung dengan lancar dan selamat.

“Bagi maklumat terkini mengenai PRK Sungai Bakap, orang ramai dinasihatkan menyemak MySPR Semak. PDRM juga telah menyediakan talian khas iaitu Pusat Kawalan Kontinjen Pulau Pinang di talian 04-2643122 dan Pusat Kawalan Daerah SPS 04-5820184,” katanya.

SPR menetapkan 6 Julai ini sebagai hari mengundi bagi PRK DUN Sungai Bakap dan 22 Jun hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 2 Julai.

PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandang Nor Zamri Mohd Nor pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan